Harga rumah teres dijangka naik 5% pada akhir 2025, menunjuk prestasi kukuh - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Harga rumah teres dijangka naik 5% pada akhir 2025, menunjuk prestasi kukuh - Juwai IQI

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Nov - Harga rumah teres dijangka meningkat 5% menjelang Disember 2025, menunjukkan pasaran rumah teres lebih kukuh mengatasi jenis rumah lain, kata firma penilaian hartanah Juwai IQI, Irhamy Valuers International. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad berkata, pertumbuhan 5% itu mewakili prestasi rumah teres yang lebih kukuh berbanding tahun lalu.

 

"Dalam tempoh 12 bulan hingga suku kedua 2024, indeks harga rumah teres rasmi daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) meningkat hanya 1.1% manakala pada 2023, harga rumah teres melonjak sebanyak 3.7%.

 

"Pada 2023, apartmen bertingkat tinggi adalah yang kedua terbaik dengan pertumbuhan kebanggaan 3.6%, manakala harga rumah teres pula melonjak lebih tinggi sebanyak 144.4%," katanya dalam satu nota tinjauan, hari ini.

 

Beliau menjelaskan, walaupun hara rumah teres mencatat rekod pertumbuhan terbaik, rumah teres bukanlah jenis rumah dengan harga tertinggi.

 

Katanya, pembeli rumah teres sudut terpakai sering menambah tingkat ketiga, mewujudkan sejumlah lebih daripada 4,000 kaki persegi kawasan binaan.

 

Irhamy berkata, ekonomi negara yang bakal berkembang pada 2025, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka mencecah sekitar 5%, digabungkan dengan kemungkinan keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3% akan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan bagi pasaran  hartanah. 

 

Irhamy
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad

 

Kadar 3% itu dianggap neutral, menyokong kos pinjaman yang stabil tanpa merangsang inflasi, dijangka kekal dalam julat terurus 2% hingga 3%.

 

“Bagi pasaran hartanah kediaman, pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kadar faedah yang stabil bermakna keadaan yang baik untuk kedua-dua pembeli dan penyewa.

 

“Khususnya, rumah teres berpeluang mendapat manfaat daripada trend ini, kerana kemampuan dan daya tarikannya di perbandaran bersepadu menjadikannya pilihan yang menarik dalam ekonomi yang berkembang dan stabil," katanya.- DagangNews.com