KUALA LUMPUR 9 Jan - Hartalega Holdings Bhd diyakini menerima manfaat daripada kenaikan kadar tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas sarung tangan import dari China.
RHB Investment berkata, data import AS terkini juga menunjukkan aktiviti penambahan inventori dilakukan pada akhir 2024, yang mendorong pihaknya untuk terus berhati-hati terhadap jumlah jualan pada separuh pertama 2025.
Katanya, harga saham kumpulan itu meningkat sebanyak 46% pada 2024, dibantu pemulihan jumlah jualannya (kerana aktiviti pengurangan inventori berakhir pada separuh pertama 2024) dan mekanisme pelepasan kos yang bertambah baik (yang menyaksikan purata harga jualan industri pulih kepada AS$21 daripada AS$19 setiap 1,000 keping).
"Tarif import AS yang lebih tinggi ke atas China boleh dilihat satu kelebihan dan kami berpendapat rombakan rantaian bekalan global telah berlaku pada pertengahan November 2024, lebih awal daripada permulaan tarif (dengan mengambil kira masa yang diperlukan untuk penghantaran barangan).
"Pertumbuhan jumlah jualan pada masa depan mungkin hanya disokong penambahan semula organik dan bukannya daripada lencongan perdagangan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, terdapat beberapa faktor menyumbang kepada penurunan penarafan daripada "beli" kepada "neutral" berikutan kenaikan stok produk getah di bawah liputan mereka, yang menyaksikan kenaikan antara 40% hingga 50% dalam harga saham pada 2024.
Katanya, antara faktor utama termasuk ketidakupayaan pembuat sarung tangan Malaysia untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada tarif import yang dikenakan ke atas pengeluar China.
"Pembuat sarung tangan Malaysia mendapati ia mencabar untuk menaikkan harga melebihi AS$24 bagi setiap 1,000 keping, memandangkan penolakan keras daripada pelanggan AS," katanya.
RHB Investment berkata, pembuat sarung tangan Malaysia akan terus berwaspada untuk kekal relevan di pasaran bukan AS dengan memantau strategi harga dengan teliti, memandangkan pesaing dari China memperoleh bahagian pasaran.
Firma penyelidikan itu berpendapat, keuntungan sektor itu mungkin tidak pulih ke tahap pra pandemik sehingga sekurang-kurangnya 2026, disebabkan sebaran kos ASP yang terhad. - DagangNews.com