KUALA LUMPUR 19 Dis - Binastra Corporation Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 120% kepada RM265.9 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2024 (3QFY25) berbanding RM120.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong kecemerlangan segmen pembinaan.
Kumpulan itu berkata, keuntungan kasar juga mencatatkan peningkatan sebanyak 115.1% kepada RM32.9 juta berbanding RM15.3 juta pada tahun lalu dan untung bersih mereka melonjak 115.4% kepada RM24.2 juta berbanding RM11.2 juta pada 3QFY24.
"Segmen pembinaan, yang diterajui oleh anak syarikat milik penuh kumpulan, Binastra Builders Sdn Bhd terus berkhidmat sebagai penyumbang hasil utama," katanya dalam atu kenyataan, hari ini.
Bagi temoh sembilan berakhir 31 Oktober 2024 (9MFY25) untung kasar dan bersih kumpulan masing-masing melonjak sebanyak 151.0% dan 156.6% kepada RM87.3 juta dan RM65.2 juta.
Pertumbuhan kukuh itu dibina berdasarkan peningkatan hasil sebanyak 150.7% kepada RM676.4 juta, terutamanya disebabkan oleh aktiviti kerja pembinaan yang lebih tinggi dan permulaan sembilan projek baharu pada tahun kewangan semasa.
Pengarah Urusannya, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, berdasarkan rekod prestasi cemerlang dalam industri pembinaan, pihakya percaya lebih banyak peluang akan menanti mereka pada masa hadapan.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk meneroka peluang baharu dan meluaskan jangkauan mereka dalam bidang pembinaan.
Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan kontrak baharunya yang ke-14 pada awal Disember 2024, menjadikan kontrak tahun kewangan kumpulan menang sehingga kini kepada RM3.1 bilion, manakala jumlah buku pesanan tertunggak berjumlah RM3.7 bilion merentas 22 projek yang memberi keterlihatan pendapatan dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com