KUALA LUMPUR 19 Dis - Prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak membayangkan setiap projek atau perolehan yang disiasat melibatkan ketirisan, pembaziran atau salah laku, kata pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Sebaliknya, beliau berkata PAC juga memainkan peranan dalam menyemak cadangan untuk perolehan atau projek kerajaan.
"Ini adalah peranan yang perlu dimainkan PAC sebagai Jawatankuasa Pilihan Parlimen, dan sebagai mekanisme untuk menyemak dan mengimbangi antara cabang perundangan dan eksekutif," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Rabu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mempersoalkan kewajaran siasatan PAC terhadap perolehan kereta api unit berbilang elektrik (EMU), memandangkan projek itu masih dalam peringkat perancangan, dan tiada kontrak dimuktamadkan.
Mas Ermieyati menegaskan PAC percaya perolehan tren EMU itu perlu dijelaskan dengan lebih terperinci, supaya orang ramai memahami mengapa kerajaan memilih model pajakan 30 tahun, bernilai lebih RM10 bilion.
Beliau berkata ini bukan kali pertama PAC memulakan prosiding dengan menjemput kementerian untuk memberikan penjelasan sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan, termasuk menandatangani kontrak.
“Sebelum ini, ramai yang mencadangkan bahawa PAC sering memulakan penyiasatan terhadap isu pemerolehan atau tadbir urus kewangan kerajaan, hanya apabila ia sudah bermasalah,” kata beliau. - DagangNews.com