Hasil penyertaan MIHAS usahawan Perak terima RM20 juta jualan, kontrak membekal | DagangNews Skip to main content

Hasil penyertaan MIHAS usahawan Perak terima RM20 juta jualan, kontrak membekal

Pavilion Perak pada MIHAS melibatkan penyertaan 25 usahawan pelbagai produk halal tempatan.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 30 Sept - Penyertaan usahawan Perak pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Kuala Lumpur mencatat kejayaan apabila merekodkan kira-kira RM20 juta jualan potensi dan kontrak membekal.

 

Pameran tahunan perdagangan halal terbesar di dunia anjuran MITI dan MATRADE ini berlangsung pada 17 hingga 20 September lalu.

 

Pavilion Perak diselaraskan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).

 

Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, syarikat Eurofresh Sdn. Bhd. merekodkan potensi jualan kira-kira RM18 juta menerusi tawaran membekalkan produk kepada beberapa pasar raya besar dan syarikat pemborong di seluruh negara.

 

Perak
Mohamad Rozlan (tiga dari kiri) bersama Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak, Dato' Salbiah Mohamed (tengah) menunjukkan produk nasi pekasam keluaran Gerik Food.
 

 

Eurofresh merupakan pembekal daging sejuk beku yang juga anak syarikat Perak SADC.

 

“CWP Food Manufacturing Sdn. Bhd. mendapat pasaran bernilai RM3 juta dari Dubai, Australia,Taiwan, Shanghai, Singapura, Indonesia, Brunei dan pembekal tempatan.

 

“Nasi pekasam segera keluaran Gerik Food Industry pula mencatat RM1.3 juta menerusi permintaan pengedar dari China, Singapura dan Indonesia selain 8 pasar mini dan 12 stesen minyak di Perak.

 

Perak
Sesi padanan perniagaan memberi peluang usahawan Perak meneroka peluang pasaran tempatan dan luar negara. 

 

Perak

 

“Mesra Herbs Sdn. Bhd. pula mempunyai potensi perniagaan RM500,0000 dari rakan niaga Indonesia, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan  Arab Saudi.

 

“Ini termasuk permintaan menghantar 10 jenis produk dan 1 kontena dari Indonesia.

 

“Produk tenusu Suffy Dairy Group Sdn. Bhd. pula menerima jualan potensi RM30,000 dari Kazakhstan, Mali dan Kenya,” ujarnya kepada Dagang News.

 

MIHAS melibatkan penyertaan 6 usahawan Perak manakala sebanyak 65 produk pula dibawa dan dipamerkan untuk jualan mewakili 25 usahawan

 

Turut bekerjasama ialah agensi berkaitan seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), MARA dan lain-lain membolehkan ramai usahawan Perak dibawa menyertai pameran ini. 

 

Perak
Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad (tengah) berada di Pavilion Perak pada MIHAS 2024.

 

Menurut Mohamad Rozlan, pemilihan usahawan dibuat berdasarkan permohonan serta syarat kelayakan ketat yang ditetapkan oleh urusetia.

 

Katanya, Pavilion Negeri Perak telah menerima kunjungan pelbagai pihak dalam dan luar negara sepanjang 4 hari pameran antarabangsa ini berlangsung.

 

“Dengan penglibatan kerajaan negeri Perak pada pameran ini, ia dapat membantu meningkatkan bilangan usahawan tempatan sebagai pengeksport produk dan perkhidmatan halal ke pasaran global.

 

“Penyertaan pada MIHAS juga menunjukkan potensi produk halal semakin berkembang pesat seterusnya dapat meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negeri Perak secara keseluruhan,” ujarnya. - DagangNews.com