KUALA LUMPUR 14 Okt - Hasil UUE Holdings Bhd pada suku kedua berakhir 31 Ogos 2024 (2QFY25) meningkat 10.5% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM43 juta dipacu pertumbuhan segmen rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah.
Kumpulan itu berkata, ia juga disokong pertumbuhan positif dalam segmen pembuatan dan perdagangan paip HDPE.
Keuntungan kasar kumpulan meningkat 17.8% kepada RM8.8 juta manakala untung bersih mereka melonjak 21.2% kepada RM6.7 juta.
Keputusan suku tahunan yang mengagumkan sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan permintaan untuk penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah dan saluran paip projek infrastruktur UUE yang sedang berjalan.
Bagi tempoh enam bulan terkumpul, UUE mencapai untung kasar dan untung bersih sebanyak RM16.2 juta dan RM12.3 juta dengan hasil sebanyak RM82 juta.
Tiada perbandingan tahun ke tahun kerana UUE hanya disenaraikan di Pasaran ACE pada Julai tahun ini.
Pengarah Urusan UUE, Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata, gabungan pembuatan dalaman paip HDPE dengan kepakaran kumpulan dalam kejuruteraan utiliti bawah tanah, terutamanya dalam kerja penggerudian arah mendatar (HDD), memberikan mereka kelebihan sambil menyokong peralihan pantas Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan.
"Penyepaduan ini membolehkan kami menawarkan rumusan lengkap, memberikan kecekapan kos dan jaminan kualiti kepada pelanggan kami.
"Sambil kami terus mempelbagaikan perkhidmatan kami untuk kerja HDD dasar laut, kami kekal komited untuk memacu pertumbuhan mampan untuk UUE dan memberikan nilai yang konsisten kepada pemegang kepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, melihat ke hadapan, pihakya akan terus memacu UUE ke tahap baharu dengan mengejar lebih banyak peluang dalam kedua-dua projek telekomunikasi dan bekalan elektrik, sambil mengembangkan usaha niaga ke dalam kerja HDD dasar laut. - DagangNews.com