Yinson Renewables peroleh kemudahan pembiayaan hijau RM262.48 juta bina projek solar Matarani di Peru | DagangNews Skip to main content

Yinson Renewables peroleh kemudahan pembiayaan hijau RM262.48 juta bina projek solar Matarani di Peru

Loji Solar Matarani milik Yinson Renewables yang terletak di Arequipa, mempunyai potensi kuasa fotovoltaik (PV) yang tertinggi di Peru.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Nov - Unit perniagaan tenaga boleh diperbaharui Yinson Holdings Bhd, Yinson Renewables, memperoleh kemudahan pembiayaan hijau berjumlah RM262.48 juta untuk projek solar Matarani di Peru daripada IDB Invest dan Natixis Corporate & Investment Banking (Natixis CIB).

 

Natixis CIB bertindak sebagai bank penstruktur tunggal, penyelaras pinjaman hijau dan pengatur utama bersama IDB Invest. 

 

Projek itu merupakan satu pencapaian penting dalam sektor tenaga Peru, kerana ia adalah loji solar operasi pertama tidak disubsidi yang dibiayai melalui kemudahan pembiayaan projek hijau, yang disusun mengikut Prinsip Pinjaman Hijau (2023).

 

Loji Solar Matarani berkapasiti 97 MWp yang terletak berhampiran Arequipa, Peru, disokong oleh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) jangka panjang dengan Orygen, pembekal dan pengeluar tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Peru. 

 

Ia memulakan operasi untuk pengeksportan dan penjualan tenaga pada Julai 2024 dan telah mencapai operasi penuh pada September 2024. 

 

Direka untuk menghasilkan 260 GWh tenaga boleh diperbaharui setiap tahun bersamaan dengan penggunaan elektrik oleh kira-kira 62,000 isi rumah di Peru, loji terbabit menyokong perjalanan perubahan tenaga negara dan matlamat untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga termal dan hidroelektrik.

 

Ketua Pegawai Kewangan Yinson Renewables, Vegard Urnes berkata, pihaknya gembira kerana berjaya melaksanakan pembiayaan untuk projek Solar Matarani, menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Yinson Renewables di Amerika Latin. 

 

"Pencapaian ini bukan sahaja menegaskan komitmen kami untuk memajukan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, tetapi juga menyerlahkan kepentingan kerjasama strategik dengan institusi terkemuka seperti IDB Invest dan Natixis CIB. 

 

"Kerjasama ini adalah bukti kepada visi bersama kami untuk memupuk pembangunan mampan dan menangani perubahan iklim. Kami berharap dapat meneruskan kerja kami di Peru dan seterusnya, memanfaatkan kerjasama kukuh ini untuk memacu projek-projek masa depan yang menyumbang kepada landskap tenaga yang lebih hijau dan berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IDB Invest, James Scriven pula berkata, syarikatnya berbesar hati untuk menyokong projek pertama Yinson Renewables di rantau tersebut. 

 

"Pembiayaan ini adalah kunci kepada perubahan tenaga Peru ke sumber tenaga boleh diperbaharui. Projek Solar Matarani meningkatkan kelestarian alam sekitar dan menunjukkan potensi besar untuk tenaga boleh diperbaharui bukan konvensional di Peru. 

 

"Di IDB Invest, kami kekal komited untuk mempromosikan projek yang menawarkan penyelesaian pembiayaan inovatif bagi pembangunan ekonomi dan sosial di Amerika Latin dan Caribbean," ujarnya.

 

Pengarah Kewangan Infrastruktur & Tenaga di Natixis CIB, Amaury Chastan menyifatkan, pihaknya mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam membiayai infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di Amerika Latin dan transaksi itu mengukuhkan kedudukannya.

 

Yinson Renewables memperoleh projek berkenaan daripada Grenergy Renewables pada Januari 2024. 

 

Syarikat itu berhasrat mencapai pertumbuhan yang kukuh di Amerika Latin, dengan saluran paip hampir 1 GW yang dijangka dibina dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. 

 

Di Peru, Yinson Renewables juga memiliki Projek Majes 130 MWp, fasa pertama yang dijangka sedia untuk pembinaan menjelang akhir 2024. 

 

Matarani merupakan projek berskala besar keempat Yinson Renewables yang mencapai operasi komersial, dengan tiga projek pertama adalah loji Rising Bhadla 1 & 2 dan loji Solar Nokh di India. - DagangNews.com