KUALA LUMPUR 29 Okt - Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2), pada Selasa melancarkan kempen Less Scars, Less Pain bagi mendidik orang awam mengenai fokus DSH2 dalam inovasi pembedahan yang selamat, tepat dan invasif minimum yang menggalakkan kesejahteraan kesihatan, pemulihan dan penyembuhan yang lebih pantas sekali gus meninggalkan pesakit dengan parut yang kurang dan kesakitan minimum.
Melakar reputasi sebagai satu daripada institusi kesihatan terkemuka negara dalam merintis prosedur perubatan terkini, kempen yang berlangsung dari Ogos hingga 31 Disember 2024 itu menampilkan dua fasa.
Fasa pertama, Zip-less: Beyond The Beat menekankan pembedahan minimal invasif kardiak (MICS) yang memperlihatkan masa depan pembedahan jantung dengan prosedur seperti pembedahan pintasan jantung serta penggantian injap mitral dan aorta.
Fasa dua pula menampilkan Redefined Precision: Where Robotics Meet Expertise yang memperlihatkan inisiatif invasif minimum yang menggabungkan teknologi robotik terkini, yang membolehkan pakar bedah melakukan pembedahan invasif minimum dengan ketepatan dan ketangkasan tiada tandingan, yang membawa kepada proses pemulihan lebih
pantas, pengurangan komplikasi dan hasil pembedahan yang lebih berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif DSH2, Tan Sok Kheng berkata, pelaksanaan kempen itu sejajar dengan visi masa pihaknya iaitu menjadi sebuah pusat kecemerlangan bagi jantung dan paru-paru yang terbaik dalam setiap aspek pencapaian klinikal, kepuasan perkhidmatan, kemajuan teknologi serta sumbangan kepada pendidikan dan penyelidikan.
"Penggunaan teknologi di DSH2 telah meletakkan ia satu langkah ke hadapan dari hanya sebuah pusat penjagaan kepada hab latihan seluruh negara bagi pakar bedah jantung yang ingin meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam prosedur Pembedahan Jantung Invasif Minimum - Cantuman Pintasan Jantung," katanya dalam satu kenyataan.
MICS adalah pembedahan jantung yang mampu mengurangkan parut dengan ketara, menurunkan komplikasi perubatan serta membantu pemulihan pesakit yang lebih pantas.
Ia dilakukan dengan melakukan satu bukaan kecil 3-7 cm di antara tulang rusuk menggunakan teknik endoskopik.
Ini membezakannya dari pembedahan jantung terbuka konvensional yang memerlukan sternotomy iaitu bukaan besar melalui tulang dada yang bukan sahaja boleh mematahkan tulang, malah meninggalkan parut yang kelihatan seperti zip.
Pakar Perunding Pembedahan Kardiotorasik DSH2, Prof. Dr. Shahrul Amry berkata, prosedur MICS adalah selamat kerana ia membolehkan pesakit menerima kaedah rawatan terbaik yang boleh membuka jalan kepada pengalaman pembedahan yang lebih baik pada masa hadapan.
"Sebagai contoh di Jerman, teknik invasif minimum merupakan kaedah utama yang digunakan apabila melakukan pembedahan jantung," ujarnya.
Kemajuan bidang perubatan itu meletakkan perkhidmatan jantung dan paru-paru yang ditawarkan DSH2 sebagai antara yang utama dalam penjagaan jantung dengan tawaran pembedahan jantung invasif minimum yang merevolusikan pengalaman pesakit dan memperkasakan mereka dalam setiap langkah yang diambil.
Penubuhan kumpulan sokongan yang didedikasikan untuk menyokong pesakit MICS juga membantu memupuk semangat kemasyarakatan dan sokongan yang tinggi buat pesakit.
Perjuangan DSH2 dalam kecemerlangan klinikal bukan sahaja seiring dengan slogan Care for Life mereka, malah ia membuahkan hasil bagi DSH2 untuk merangkul pelbagai anugerah, antaranya Rising Star Hospital of The Year di Majlis Anugerah Global Health Asia-Pacific 2024. - DagangNews.com