Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.8% pada November 2024 kesan kos makanan, minuman lebih tinggi - DOSM | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.8% pada November 2024 kesan kos makanan, minuman lebih tinggi - DOSM

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Inflasi Malaysia meningkat 1.8% pada November 2024 berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) berada pada 133.3 mata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menurut DOSM, kenaikan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kos yang lebih tinggi dalam makanan dan minuman pada 2.6% dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pada 3.2%.

 

Inflasi makanan amat ketara, didorong oleh kenaikan 4.8% dalam harga ayam, dengan harga purata ayam standard mencecah RM10.41 sekilogram, meningkat daripada RM9.96 pada November 2023.

 

Bagaimanapun, inflasi dalam pengangkutan perlahan kepada 0.4%, manakala maklumat dan komunikasi mencatatkan penurunan ketara sebanyak -3.9%, mencerminkan harga yang lebih rendah untuk perkhidmatan dalam kategori ini.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan meningkat 3.4% manakala restoran & perkhidmatan penginapan naik 2.8% dan minuman, alkohol & Tembakau, hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah serta insurans & perkhidmatan kewangan meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.

 

inflasi

 

"Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.6% pada November 2024. Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.6% disumbangkan inflasi kelas perbelanjaan daging yang merekodkan peningkatan sebanyak 1.6%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, inflasi bahan api diesel dan petrol tanpa plumbum RON97 masing-masing kekal pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya iaitu 15% dan -8.1%. 

 

Katanya, purata harga Diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.95 seliter berbanding RM2.15 seliter pada November 2023, manakala purata harga Diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. 

 

Mohd Uzir berkata, lima negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.9%), Pahang (2.4%), Selangor (2.1%), Johor (1.9%) dan Sarawak (1.9%). 

 

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi makanan dan minuman dengan kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 4%, diikuti Putrajaya (3.4%), Johor (2.9%), Terengganu (2.8%),  Pulau Pinang (2.6%) dan Kuala Lumpur (2.6%). 

 

"Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman nasional iaitu 2.6% pada November 2024," katanya.

 

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada November 2024 menurun 0.1% berbanding Oktober 2024. Ini merupakan merupakan penurunan kali pertama semenjak Ogos 2021 yang didorong pengurangan kos pengangkutan dan perhubungan.

 

Bagaimanapun, berbanding negara serantau, kadar inflasi Malaysia kekal sederhana, lebih rendah daripada Vietnam pada 2.8% dan Filipina pada 2.5% tetapi masih lebih tinggi daripada Indonesia dengan 1.6% dan Thailand pada 1%. - DagangNews.com