Isu FashionValet dibangkitkan lagi di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen tuntut reformasi ke atas GLC, GLIC | DagangNews Skip to main content

Isu FashionValet dibangkitkan lagi di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen tuntut reformasi ke atas GLC, GLIC

KUALA LUMPUR 4 Nov - Kerugian dana awam bernilai RM43.9 juta membabitkan platform e-dagang fesyen, FashionValet mendedahkan rantaian kepincangan tatakelola dan akauntabili pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

 

Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching), berkata isu kontroversi itu menunjukkan keperluan bagi kerajaan melakukan pembaharuan atau 'reform' membabitkan entiti berkenaan.

 

"Sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) lagi sudah dibincangkan isu ini. Persoalan sekarang kita tidak mahu hanya satu rancangan atau percakapan yang cantik di atas kertas, tetapi dihalang dengan pelaksanaan yang lemah.

 

"Beberapa isu (yang dibangkitkan) perlu ditangani dengan melakukan 'reform' ke atas GLC dan GLIC.

 

"Bagi isu membabitkan FashionValet, ia sangat penting bukan hanya kerana membabitkan wang rakyat, untung rugi juga bukan parameter tunggal dalam pelaburan, tetapi (perlu dilihat) aspek tatakelola dan akauntabiliti dalam pengurusan GLC dan GLIC," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini, menurut laporan BH.

 

 

FV

 

 

Beliau meminta kerajaan menjawab beberapa persoalan penting khususnya mengenai pemilihan FashionValet yang menerima pelaburan dengan nilai puluhan juta ringgit.

 

"Pertama, bagaimana FashionValet boleh dapat pelaburan daripada GLIC, walhal syarikat lain contohnya Grab yang ada potensi tak dapat bantuan diperlukan.

 

"Namun, sekarang mereka (Grab) adalah 'unicorn' (syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion) di Singapura dan kita terlepas peluang ini.

 

"Bagaimana jumlah dana yang diberikan ini ditentukan, apakah proses penentuan kuantum diberikan? Alasan (pelaburan kepada FashionValet), yang saya baca adalah untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera, ini saya sokong sepenuhnya. Tetapi jumlah dana itu jika diguna dengan baik boleh memberi manfaat kepada beratus usahawan Bumiputera lain.

 

"Berapa banyak 'startup' terpaksa ke luar negara kerana di negara sendiri, (mereka) bagaikan pengemis dan apakah proses pemilihannya supaya semua rakyat Malaysia dapat nikmati suntikan ini, bukan dalam kalangan geng kabel atau elit saja," soalnya.

 

Beliau turut mempersoalkan aspek pemantauan yang dilihat terlalu lemah sehingga pelaburan jutaan ringgit berdepan kepincangan sedemikian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah, PNB jual pegangan RM47 juta dalam FashionValet pada harga hanya RM3.1 juta, MOF sahkan di Parlimen

 

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mencelah dengan meminta izin supaya dua soalannya kepada Kementerian Kewangan (MoF) dimasukkan dalam ucapan Kelvin.

 

"Saya nak tumpang ucapan Yang Berhormat (YB) mengenai FashionValet menerima pelaburan lebih RM40 juta daripada Khazanah. Boleh tak melalui YB, saya nak ajukan soalan kepada menteri sama ada (pelaburan oleh GLIC) ini mendapat kelulusan MoF.

 

"Kemudian ketika FashionValet menjual sahamnya, adakah mendapat 'clearance' (kelulusan) daripada pihak MoF atau Khazanah?" katanya.

 

Ramli menegaskan persoalan itu penting untuk diutarakan mengambil kira ia menunjukkan kelemahan ketara dalam aspek tatakelola.

 

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam Fashion Valet.

 

Perdana Menteri berkata, arahan tegas itu menjadi sebahagian tindakan untuk mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik dalam 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC). - DagangNews.com