Jet tempur generasi kelima Rusia, SU-57 tarik perhatian delegasi TUDM pada pameran udara Zhuhai | DagangNews Skip to main content

Jet tempur generasi kelima Rusia, SU-57 tarik perhatian delegasi TUDM pada pameran udara Zhuhai

Pesawat generasi kelima SU-57 mencuri tumpuan pada pameran di Zhuhai.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 20 Nov - Pesawat tempur generasi kelima Rusia, SU-57 Falon seperti dijangka mencuri tumpuan pada Pameran Udara Antarabangsa China 2024 di Zhuhai.

 

Generasi terbaru Sukhoi ini telah menonjolkan kelebihan teknologi aeroangkasa Rusia.

 

Ini adalah kali pertama Rusia mempertontonkan versi eksport SU-57 pada pameran udara bertaraf antarabangsa di China.

 

 

SU-57 ialah pesawat tempur pelbagai peranan enjin berkembar yang dibangunkan sejajar dengan keperluan operasi udara masa kini dan masa hadapan.

 

Pesawat

 

Ia mampu melakukan pertempuran udara, serangan darat dan maritim.

 

SU-57 menggabungkan teknologi halimunan, penerbangan lincah dan tujahan supersonik dengan avionik bersepadu dengan beban tempur lebih banyak.

 

Pesawat ini boleh mencapai kelajuan sehingga Mach 2, terbang pada ketinggian 20,000 meter dengan jarak sejauh 4,500 kilometer.

 

Rusia dijangka menggunakan SU-57 bagi menggantikan pesawat MiG-29 dan SU-27 sedia ada tidak lama lagi.

 

Kemunculan SU-57 di Zhuhai yang turut mengadakan pertunjukan aerobatik antara lain bagi memikat negara pengguna yang berpotensi.

 

Pesawat
Panglima TUDM melihat lebih dekat keupayaan pesawat SU-57.

 

Pesawat

 

Ini khususnya negara pengguna pesawat buatan Rusia sedia ada, tidak terkecuali Malaysia.

 

Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan antara tetamu asing yang dijemput menghadiri pameran tersebut.

 

Kehadiran beliau ke pameran antarabangsa berprestij ini memberi peluang strategik kepada TUDM untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa.

 

Ini melalui pertemuan dengan para delegasi tentera yang hadir dan melihat teknologi pertahanan terkini yang dapat mempertingkatkan keupayaan pertahanan negara.

 

Pesawat
Delegasi TUDM diberi penerangan tentang sistem persenjataan pada pesawat SU-57.

 

Mohd Asghar Khan dan delegasi turut mengambil peluang melihat pameran statik pesawat SU-57 dan mendengar penerangan berkaitan spesifikasi serta keupayaan pesawat tersebut. 

 

Beliau juga turut mengunjungi beberapa ruang pempamer serta mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri pertahanan antarabangsa.

 

Sepertimana diketahui, TUDM telah menetapkan rancangan untuk mendapatkan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) pada tahun 2040 yang mana pesawat generasi kelima adalah pilihan.

 

Walaupun masih terlalu awal untuk menjangkakan calon sesuai, namun kebarangkalian SU-57 tersenarai tidak mustahil.

 

Pesawat

 

Sebagai pengguna pesawat buatan Rusia lebih 30 tahun bermula dengan MiG-29N, TUDM telah cukup matang dengan pengalaman sebagai pengendali.

 

Satu lagi pesawat yang menarik perhatian TUDM ialah KAAN buatan Türkiye.

 

Berbeza dengan KAAN, Rusia telah membangunkan projek SU-57 lebih lama dan sehingga kini sebanyak 10 pesawat telah dibina sebagai ujian.

 

Teknologi udara Rusia juga lebih matang, apatah lagi Sukhoi merupakan peneraju industri pertahanan aeroangkasa Rusia.

 

Pesawat
China turut mempamerkan teknologi terkini pesawat tempur.
​​​​​​

 

Biarpun ada yang membandingkan teknologi Su-57 sebagai tidak setanding dengan pesawat generasi kelima Amerika Syarikat (AS), F-35, namun populariti yang diterima di China adalah luar biasa.

 

Tidak seperti Rusia, AS tidak mudah menjual pesawat F-35 kecuali negara sekutu rapat sahaja. - DagangNews.com