JJ-LAPP perkenal produk dan rumusan tenaga solar Deye, galakkan penggunaan teknologi boleh diperbaharui di Malaysia | DagangNews Skip to main content

JJ-LAPP perkenal produk dan rumusan tenaga solar Deye, galakkan penggunaan teknologi boleh diperbaharui di Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Dis - Usaha sama teknologi kabel antara konglomerat industri pelbagai, Jebsen & Jessen Group dan LAPP Holding Asia, JJ-LAPP memperkenalkan produk dan rumusan tenaga solar Deye, hasil kerjasama dengan pemain utama dalam pasaran inverter solar global, Deye.

 

Melalui kerjasama strategik itu, JJ-LAPP akan mengendalikan jualan, pengedaran dan sokongan perkhidmatan untuk seluruh rangkaian produk dan rumusan tenaga solar Deye, yang kali pertama diperkenalkan di pasaran Malaysia.

 

Di bawah Pelan Tindakan Tenaga Diperbaharui Malaysia (MyRER), yang bertujuan mengurangkan pembebasan karbon sektor tenaga elektrik di Malaysia, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah menetapkan sasaran untuk mencapai 31% perkongsian tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025. 

 

Sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) Malaysia 2030 bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca setiap unit KDNK sebanyak 45%, berbanding tahap 2005 dan pengurangan lanjut sebanyak 60% pada 2035. 

 

Seiring dengan usaha Malaysia untuk mempercepatkan penerimaan rumusan RE, kerjasama berkenaan adalah langkah penting dalam menjadikan produk dan penyelesaian tenaga solar lebih mudah diakses oleh perniagaan dan pengguna.

 

JJ-LAPP akan menjadi rakan teknologi bagi Deye di Malaysia, mengendalikan jualan, pengedaran dan sokongan perkhidmatan produk dan penyelesaian tenaga solar Deye, termasuk inverter solar, loji kuasa penyimpanan, penyaman udara solar dan banyak lagi. 

 

Pada majlis tandatangan MoU dan pelancaran produk, Deye turut mengumumkan pelancaran rumusan tenaga terbaharu mereka, termasuk inverter voltan rendah dan tinggi, bateri canggih, serta produk penyimpanan tenaga balkoni untuk aplikasi kediaman, komersial dan industri (C&I) bersama dengan Deye Cloud yang inovatif dan sistem pengurusan pintar untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi sistem. 

 

Rumusan Deye yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia itu akan melengkapi rangkaian produk sedia ada JJ-LAPP, termasuk panel solar, rumusan solar terapung, penyimpanan tenaga bateri, stesen pengecasan EV dan banyak lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif JJ-LAPP, Marc von Grabowski berkata, pihaknya mengakui potensi besar sektor tenaga boleh diperbaharui, terutamanya tenaga solar.

 

"Dengan penambahan rumusan tenaga solar inovatif Deye yang melengkapkan portfolio produk tenaga boleh diperbaharui kami yang sedia ada, kami dapat menawarkan pelanggan satu rangkaian rumusan yang menyeluruh dan memberi kesan dalam mempercepatkan penerimaan tenaga boleh diperbaharui negara untuk masa depan yang lebih hijau dan cekap tenaga," katanya dalam satu kenyataan.

 

Naib Presiden Deye APAC, James Yuk berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan JJ-LAPP.

 

"Dengan memanfaatkan pengetahuan pasaran dan capaian luas JJ-LAPP, kami bersedia untuk memperluaskan jangkauan rumusan tenaga solar yang boleh dipercayai dan cekap kepada pasaran Malaysia. 

 

"Kerjasama ini menandakan satu langkah dalam mencapai visi kami untuk mempromosikan penggunaan tenaga solar di seluruh dunia," ujar beliau. - DagangNews.com