Johor Plantations Group lantik JL Projects selia pembinaan kilang penapisan bersepadu di Kota Tinggi | DagangNews Skip to main content

Johor Plantations Group lantik JL Projects selia pembinaan kilang penapisan bersepadu di Kota Tinggi

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Nov - Johor Plantations Group Bhd (JPG) melantik syarikat gabungan Johor Corporation (JCorp) JL Projects Sdn Bhd sebagai konsortium pengurus projek (PMC) bagi pembinaan kompleks minyak sawit lestari bersepadu (ISPOC) pada harga RM30.99 juta.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, jumlah kontrak tiga tahun mewakili 9.9% daripada anggaran kos pembangunan kasar ISPOC, yang berjumlah RM313.04 juta.

 

Pada 3 November 2024, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kilang penapisan minyak dan lemak khusus itu mempunyai nilai pembangunan awal RM500 juta dan dijangka siap pada pertengahan 2026.

 

 

Syarikat minyak dan lemak Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd adalah pembina bagi kilang penapisan yang terletak di Pasir Logok, Kota Tinggi.

 

JL Projects adalah milik penuh JLand Group Sdn Bhd, yang mana 100% dimiliki oleh JCorp, pemegang saham terbesar Johor Plantations dengan 65% kepentingan.

 

Kumpulan itu berkata JL Projects mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam menguruskan projek di tanah rizab Melayu, memastikan pematuhan kepada peraturan berkaitan dengan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan. 

 

“Dengan penekanan terhadap akauntabiliti dan ketelusan, keupayaan JL Projects yang terbukti untuk mengendalikan projek yang kompleks menjadikan mereka calon yang sesuai untuk menyelia pengurusan pembinaan projek ISPOC melalui cadangan pelantikan PMC,” katanya.

 

ISPOC ialah kemudahan berskala besar yang menggabungkan beberapa peringkat proses pengeluaran minyak sawit di satu lokasi. 

 

Ia terdiri daripada kilang minyak sawit, kilang penapisan lemak khusus, loji penghancur isirung, loji janakuasa bio-tenaga serta kilang makanan haiwan di satu lokasi.

 

Ini, kata syarikat perladangan itu, akan membolehkannya berintegrasi di sepanjang rantaian nilai minyak sawit yang melibatkan operasi ladangnya, operasi kilang, pemprosesan tenaga boleh diperbaharui dan penapisan lemak khusus, memandangkan kemudahan ini berdekatan dengan ladangnya, sekali gus meningkatkan keberkesanan kos keseluruhan kumpulan itu.  

 

Ini akan membolehkan JPG mempelbagaikan penawaran produknya dengan lebih baik dan meningkatkan daya saingnya dalam pasaran perladangan. - DagangNews.com