JPJ panggil balik 3,722 unit Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS | DagangNews Skip to main content

JPJ panggil balik 3,722 unit Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS

KUALA LUMPUR 4 Nov - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan panggilan balik bagi 3,722 kenderaan, terdiri daripada model Perodua Alza dan Aruz, serta motosikal Honda CB350RS.

 

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata panggilan balik itu terdiri daripada 2,518 unit Perodua Alza 1500 X CVT, 1500 H CVT, dan 1500 AV CVT, serta 1,139 unit Perodua Aruz 1500 X dan 1500 AV , disebabkan lampu utama yang tidak memenuhi peraturan spesifikasi ketinggian.

 

 

Perodua Aruz 1500 X
                                 Perodua Aruz 

 

 

Beliau berkata penarikan balik itu turut membabitkan 65 motosikal Honda CB350RS yang didapati mempunyai masalah dengan sistem brek antikunci (ABS) dan kawalan cengkaman, serta sensor kelajuan roda, yang menyebabkan bacaan meter kelajuan tidak tepat.

 

“Mana-mana komponen yang terjejas oleh isu ini akan diganti, dengan kos ditanggung oleh Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Boon Siew Honda Sdn Bhd.

 

“Setiap pemilik kenderaan yang terjejas akan dihubungi Perodua dan Boon Siew Honda untuk menjadualkan slot pemeriksaan, atau mereka juga boleh pergi ke pusat servis terdekat di seluruh negara,” katanya.

 

 

Honda CB350RS
                         Honda CB350RS

 

 

Aedy Fadly menasihatkan semua pemilik model terbabit membuat persiapan bagi membolehkan proses panggil balik dan pemeriksaan selesai secepat mungkin.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai panggilan balik, pemilik kenderaan boleh menghubungi Perodua di 1-800-88-6600 atau layari https://www.ufirst.com.my/member/login, atau gunakan aplikasi U-First.

 

Boon Siew Honda boleh dihubungi di 1-800-88-3993 atau melalui https://boonsiewhonda.com.my/after-sales/recall-campaign/. - DagangNews.com