KUALA LUMPUR 18 Dis - Prestasi jualan keseluruhan industri (TIV) dijangka mencatatkan penurunan pada tahun hadapan disebabkan langkah penyasaran semula subsidi dan semakan nilai pasaran terbuka.
CIMB Securities menjangkakan jumlah kenderaan baharu akan menurun sebanyak 4% kepada 755,000 unit pada 2025 namun ia boleh mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV).
“Jenama nasional, yang diterajui Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dijangka mengekalkan bahagian pasaran dominan mereka. Keuntungan bersih sektor diunjurkan meneruskan pertumbuhan 3% pada 2025, didorong sumbangan pendapatan yang lebih tinggi daripada Sime Darby.
"Kami menurunkan penarafan sektor daripada ""overweight" kepada "neutral", berikutan prospek pertumbuhan yang lemah di tengah-tengah persaingan pasaran yang semakin sengit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini menyemak semula pengiraan OMV dengan kemungkinan boleh menaikkan harga purata jualan kenderaan pemasangan tempatan sebanyak 8% hingga 20%.
Bagaimanapun, pelaksanaan itu ditangguhkan beberapa kali, dengan pelanjutan terkini sehingga 31 Disember 2024.
Di sebalik cabaran itu, firma penyelidikan itu berkata, penyasaran semula subsidi RON95 boleh mempercepatkan penggunaan BEV, dengan Sime Darby berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat bagi mengembangkan portfolio kenderaan elektrik (EV) merentas jenama seperti BMW, Mini, Porsche, BYD dan Volvo.
“Kami juga menjangkakan penggunaan BEV yang lebih tinggi pada 2025, didorong pelancaran model baharu dan persaingan yang semakin meningkat dalam kalangan pemain EV menjelang pengecualian duti bagi model import yang berakhir pada 2026, selepas itu pemasangan domestik akan diutamakan,” katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata permintaan untuk jenama nasional seperti Proton dan Perodua dijangka kekal teguh, disokong oleh pembeli kali pertama dan segmen pasaran besar-besaran.
Kerajaan bercadang mengekalkan subsidi untuk 85% pengguna RON95 di bawah Belanjawan 2025, bagi mengekalkan kemampuan kenderaan nasional.
CIMB Securities menjangkakan jenama nasional mengekalkan penguasaan mereka, menguasai 65% bahagian pasaran berbanding 35% untuk jenama bukan nasional pada 2025.
Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal optimis terhadap prospek TIV domestik pada 2025 dan memperkenalkan ramalan sebanyak 750,000 unit.
Walaupun ini mewakili pertumbuhan yang sederhana dari tahun ke tahun (daripada kira-kira 800,000 unit yang dijangkakan pada 2024), ia kekal jauh melebihi purata pra Covid-19 sebanyak 600,000 hingga 650,000 unit.
“Kami menjangkakan kekuatan yang berterusan dipacu pengeluar peralatan asli tempatan (OEM) dalam segmen pasaran besar-besaran (kenderaan berharga di bawah RM100,000), disokong oleh pesanan tertunggak yang kukuh untuk OEM tertentu, ketersediaan model nilai untuk wang dan meningkatkan kuasa perbelanjaan pengguna daripada kenaikan gaji perkhidmatan awam pada Disember 2024 dan kenaikan gaji minimum pada Februari 2025.
"Bagaimanapun, pertumbuhan mungkin dikekang oleh had pengeluaran, kerana OEM utama dengan baki tunggakan (seperti Perodua, Proton dan Toyota) sudah beroperasi pada kapasiti penuh,” katanya. - DagangNews.com