KUALA LUMPUR 3 Dis - CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd melancarkan kad debit Visa CIMB khusus untuk memperkasakan kanak-kanak palsi serebrum serta mengukuhkan lagi komitmen bank untuk mewujudkan impak positif sosial kepada komuniti.
Setiap pengeluaran kad debit itu akan disalurkan kepada Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS) badan bukan kerajaan (NGO) yang memperkasakan kanak-kanak palsi serebrum dengan menyediakan peralatan rehabilitasi dan program pemerkasaan.
Inisiatif tersebut adalah pertama seumpamanya di Malaysia menitikberatkan peranan bank untuk membangunkan komuniti, mengukuhkan lagi komitmen CIMB dalam mewujudkan impak positif sosial dengan membantu kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum dalam membangunkan keyakinan dan kemandirian mereka.
Menerusi kempen itu, CIMB akan menyumbang RM2 kepada GAPS untuk setiap kad debit Visa yang dikeluarkan dan dana tersebut akan memberi sokongan kewangan terus GAPS untuk beroperasi secara mampan dan kekal fokus dalam menyediakan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna dan Perbankan Digital Kumpulan CIMB Group, Effendy Shahul Hamid berkata, komitmen kumpulan menjadi sebuah bank yang tidak hanya memacu pertumbuhan kewangan tetapi juga menerajui inisiatif sosial.
“Tujuan bank seperti CIMB berakar umbi dalam memperkasakan komuniti dan kami sentiasa meneroka cara untuk mengeratkan hubungan kami dengan komuniti melalui inisiatif seperti ini.
“Semasa proses mencipta dan mereka bentuk kad ini sebelum kami melancarkannya, kumpulan memberi tumpuan kepada bagaimana kami boleh memperkasakan komuniti kami, dalam kes ini, kanak-kanak palsi serebrum.
“CIMB berbesar hati untuk bekerjasama dengan GAPS untuk memberi impak bermakna dalam kehidupan kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum melalui pengagihan sumbangan untuk peralatan rehabilitasi penting dan program-program pemerkasaan.
“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan kami perubahan positif bermulai peringkat masyarakat. Dengan menyemai budaya keterangkuman, kami bermatlamat untuk menambah baik kehidupan setiap individu dan meningkatkan kebersamaan sosial dalam kalangan masyarakat secara menyeluruh," kata beliau semasa majlis perasmian di CIMB Bank cawangan Plaza Damansara, hari ini.
Mengulas tentang palsi serebrum, Presiden dan Pengasas GAPS, Rafidah Rafizah Ahmad berkata, datanya menunjukkan lebih 81% keluarga yang mempunyai ahli keluarga dengan palsi serebrum tergolong dalam kumpulan B40.
“Keluarga yang menjaga individu palsi serebrum sering berdepan kesukaran berkaitan pendidikan khas, penjagaan kesihatan, kesejahteraan hidup, serta keperluan terhadap peralatan rehabilitasi khas yang melibatkan kos tinggi.
“Sokongan CIMB dengan pembiayaan peralatan rehabilitasi dan aktiviti pemerkasaan ini akan meringankan bebanan kewangan keluarga yang mempunyai anak dengan palsi serebrum .
“Dengan sumber yang tepat, kanak-kanak ini mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang minat masing-masing dan menjalani kehidupan yang lebih sempurna serta mampu mencapai potensi sebenar mereka,” katanya. - DagangNews.com