Kekurangan pelancaran model baharu, Tan Chong Motor diramal terus catat kerugian - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kekurangan pelancaran model baharu, Tan Chong Motor diramal terus catat kerugian - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - RHB Investment meramalkan Tan Chong Motor Holdings Bhd terus mencatatkan kerugian kesan kekurangan pelancaran kenderaan baharu dan persaingan yang sengit di dalam pasaran. 

 

Katanya, kumpulan itu dianggarkan melaporkan pendapatan yang lebih rendah pada suku ketiga 2024, penyusutan 26% dari suku tahun ke suku tahun dan 30% dari tahun ke tahun bagi jumlah jualan Nissan.

 

Kumpulan itu dilihat sukar untuk mencatatkan keuntungan pada tahun ini memandangkan ketiadaan strategi pemulihan yang jelas daripada pihak pengurusan.

 

"Nissan akan terus kehilangan bahagian pasarannya di Malaysia akibat persaingan yang semakin sengit.

 

"Kami sedar tentang risiko peningkatan jika terdapat pelan pemulihan yang jelas dengan komunikasi yang betul daripada pihak pengurusan serta potensi membuka kunci nilai melalui pelupusan bank tanahnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Investment berkata, sejak kehilangan hak mengedar Nissan di Vietnam pada 2020, pendapatan kumpulan itu di negara itu berada dalam arah aliran menrun, diburukkan lagi dengan penamatan pengedar MG pada April 2023.

 

Akibatnya, operasi Vietnam mencatatkan kerugian selama lima tahun berturut-turut.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM13 juta pada suku kedua tahun ini di Vietnam menjadikan kerugian separuh pertama 2024 kepada RM25 juta dengan jumlah jualan merosot 90% dari tahun ke tahun. 

 

Sementara itu, Tan Chong Motor akan melancarkan e-Power di Malaysia, bermula dengan SUV segmen B pada suku keempat tahun ini. Satu lagi model e-Power – MPV – dijangka dilancarkan menjelang tahun depan.

 

"Kami percaya ia sudah lama tertunggak, memandangkan jenama lain telah melancarkan pelbagai model baharu secara agresif dalam kedua-dua segmen enjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV, memperoleh bahagian pasaran mereka," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 35 sen sesaham.- DagangNews.com