KUALA LUMPUR 16 Okt - Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan skim Deposit Madani dijangka memberi impak paling ketara dalam menggiatkan semula sektor hartanah dalam Belanjawan 2025, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, pengembalian semula HOC dapat mengurangkan bilangan hartanah yang tidak terjual dan Skim Deposit Madani boleh membantu golongan muda membeli rumah pertama mereka dengan mengurangkan kekangan kewangan.
"Isu berkaitan rumah mampu beli kekal sebagai tema utama bagi sektor hartanah menuju ke Belanjawan 2025.
"Kami mengenal pasti dua cadangan berimpak tinggi jika dilaksanakan, boleh menggiatkan semula sektor hartanah iaitu skim HOC dan Deposit Madani,” katanya dalam satu nota kajian.
Secara keseluruhan, CIMB Securities mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor hartanah, dengan Sunway Bhd dan Mah Sing Group Bhd sebagai pilihan utamanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pemain hartanah utama, Mah Sing menyokong HOC dengan menggariskan kepentingan dalam membantu pemilik rumah kali pertama dan mengurangkan keadaan tidak terjual hartanah.
“Mah Sing juga menaruh harapan agar kerajaan dapat memperkenalkan geran pembeli rumah kali pertama sebanyak RM30,000 (untuk hartanah berharga sehingga RM500,000) serta pembiayaan kadar tetap yang lebih rendah," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan berharap Belanjawan 2025 akan memberi lebih banyak insentif kepada pemaju untuk terus membina rumah mampu milik.
“Kajian terperinci perlu dijalankan untuk memastikan bekalan dan permintaan untuk rumah mampu milik.
"Ini adalah penting untuk menentukan harga penjelasan pasaran untuk perumahan mampu milik dan lokasi yang sesuai," kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu juga berkata, pemaju pembangunan hijau menjangkakan insentif pengurangan cukai bangunan.
“Berdasarkan maklum balas yang diperoleh daripada pemaju, mereka memerlukan insentif cukai yang lebih baik untuk mengimbangi peningkatan kos untuk menerima pakai agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya. - DagangNews.com