KUALA LUMPUR 29 Nov - Bank Negara Malaysia mengarahkan syarikat penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) untuk mengkaji balik strategi penetapan harga semula mereka bagi produk insurans dan takaful (MHIT) perubatan dan kesihatan untuk memastikan pelaksanaan yang lebih munasabah.
Bank pusat itu berkata ini termasuk menguruskan kenaikan premium/caruman dari semasa ke semasa, dengan mengambil kira kesan ke atas pemilik polisi/peserta takaful.
"Selain itu, ITO dikehendaki menawarkan pilihan yang berdaya maju untuk pemilik polisi/peserta takaful yang terjejas dengan ketara oleh premium/caruman yang lebih tinggi untuk terus memiliki perlindungan insurans/takaful.
"ITO juga mesti memastikan pilihan yang disediakan adalah bermakna dan menyediakan langkah tambahan untuk menyokong pemilik polisi/peserta takaful yang terjejas," kata bank pusat dalam satu kenyataan.
Bank Negara menyatakan bahawa butiran lanjut mengenai pilihan yang ada akan diumumkan oleh industri insurans/takaful tidak lama lagi.
Bank pusat itu juga berkata ia kekal komited untuk memastikan orang ramai terus mendapat akses kepada produk insurans dan takaful yang sesuai.
Ia mengakui kebimbangan mengenai penetapan harga semula produk MHIT oleh ITO yang telah memberi kesan kepada pemilik polisi/peserta takaful.
Bank Negara berkata selama ini, kos penjagaan kesihatan telah meningkat dengan ketara disebabkan oleh inflasi kos perubatan dan peningkatan penggunaan perkhidmatan dan prosedur perubatan.
Oleh itu, ia berkata pembaharuan yang menyeluruh dan diselaraskan untuk membendung inflasi kos perubatan akan menjadi penting untuk mengekalkan akses berterusan kepada perlindungan MHIT yang sesuai.
"Adalah mustahak bagi pihak berkepentingan yang berkaitan (termasuk ITO, Kementerian Kesihatan, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, pengamal kesihatan, kumpulan pengguna, pemilik polisi/peserta takaful) dan Bank Negara terus bekerjasama untuk mencapai hasil ini," katanya. - DagangNews.com