KUALA LUMPUR 15 Jan - Permintaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dijangka meningkat berikutan pengumuman Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) 2025-2027, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan tersebut juga didorong oleh pelancaran subsektor RE baharu oleh bursa tempatan.
Katanya, pengenalan tarif asas elektrik sebanyak 45.62 sen setiap kilowatt jam, yang akan dilaksanakan mulai separuh kedua 2025 (2H25), dikatakan telah mengambil kira pertumbuhan purata permintaan tiga tahun sebanyak 4% hingga 5%.
RHB Research berkata, jumlah perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM42.8 bilion telah diperuntukkan, termasuk RM26.6 bilion capex asas dan penambahan RM16.3 bilion capex telah diperuntukkan bagi memenuhi permintaan selanjutnya dan projek berkaitan peralihan tenaga.
Perblanjaan cpex tersebut telah diluluskan terlebih dahulu oleh Suruhanjaya Tenaga dan akan dilaksanakan sebaik sahaja pencetus berlaku.
“Bagaimanapun, sementara menunggu kejelasan lanjut oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB), kami masih tidak pasti bagaimana mekanisme pemulihan perbelanjaan modal luar jangka akan dilaksanakan.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan kami buat masa ini tetapi melihat peningkatan sebanyak 5% hingga 7% kepada pulangan kawal selia bersih jika perbelanjaan capex direalisasikan,” katanya dalam satu laporan.
Mencerminkan kepentingan sektor RE yang semakin meningkat, Bursa Malaysia telah mengklasifikasikan semula 13 syarikat di bawah subsektor RE baharu, sebagai langkah menyediakan klasifikasi yang lebih tertumpu bagi syarikat tersenarai awam yang beroperasi dalam sektor tersebut.
Sebanyak 13 syarikat, termasuk syarikat yang terlibat dalam menyediakan peralatan dan perkhidmatan pengeluaran RE dan syarikat yang mengeluarkan atau mengedar melalui sumber RE, telah dimuktamadkan untuk pengelasan semula.
RHB Research berkata, selepas mengecualikan Cypark Resources Bhd yang mempunyai nisbah harga kepada pendapatan (PE) yang tinggi sebanyak 86 kali ganda disebabkan jangkaan pemulihannya, subsektor RE dinilai pada purata wajaran 18 kali berdasarkan PE hadapan untuk tahun kewangan 2025.
Sementara itu, syarikat solar kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dinilai dengan premium sejajar dengan matlamat RE Malaysia, termasuk mencapai campuran RE sebanyak 70% menjelang 2050.
Selain itu, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura juga dijangka memacu sector tersebut kerana ia memudahkan perdagangan RE merentas sempadan antara kedua-dua negara.
RHB Research berkata, projek solar lima berskala besar (LSS5) menyediakan saluran paip peluang yang kukuh bagi kontraktor solar, terutamanya dengan anggaran kontrak EPCC bernilai RM7 bilion yang dijangka akan dianugerahkan kepada syarikat RE pada 2H25.
Aktiviti di bawah Skim Bekalan RE Korporat juga dijangka menarik tarikan berikutan pengumuman LSS5, kerana pemaju berkemungkinan akan mengubah hala projek ke skim ini.
Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan "overweight" ke atas sektor utiliti dengan pilihan utama ialah TNB, YTL Power International Bhd dan Solarvest Holdings Bhd.
Saham ketiga-tiga syarikat mempunyai saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) masing-masing sebanyak RM16.60, RM4.70 dan RM2 sesaham. - DagangNews.com