Kenanga Research naikkan ramalan pendapatan Yinson pada FY25-FY26 sebanyak 14% dipacu peningkatan pendapatan unit FPSO | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research naikkan ramalan pendapatan Yinson pada FY25-FY26 sebanyak 14% dipacu peningkatan pendapatan unit FPSO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Dis - Kenanga Research menyemak naik unjuran pendapatan FY25 dan FY26 Yinson Holdings Bhd sebanyak 14% dipacu peningkatan pendapatan daripada unit pengeluaran terapung, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Maria Quiteria dan FPSO Abigail Joseph.

 

Katanya, pendapatan 9MFY25 kumpulan adalah melebihi jangkaan didorong kenaikan kadar untuk FPSO Abigail Joseph. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, sumbangan sulung daripada FPSO Maria Quiteria juga membantu meningkatkan pendapatan teras dan pihaknya menjangkakan FPSO Atlanta akan mencapai pengeluaran minyak pertama pada 4QFY25.

 

"Kami menyukai Yinson kerana  jumlah pekerjaan FPSO memberikan kertelihatan pendapatan yang jelas bagi tahun-tahun akan datang serta rekod prestasi projek yang kukuh yang meletakkan syarikat mendapat manfaat daripada permintaan struktur yang kukuh. 

 

"Ia juga menjadi antara syarikat tempatan pertama melabur dalam syarikat teknologi hijau (solar, e-mobiliti, dll) yang pada pandangan kami akan membantu dengan agenda peralihan tenaga jangka panjang syarikat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, FPSO Enauta dijangka mencapai minyak pertama pada 4QFY25, dengan kadar penyiapan 98% pada suku yang dilaporkan.

 

Katanya, FPSO Agogo akan dihantar pada suku keempat 2025, yang secara kasarnya sejajar dengan jangkaan sebelum ini. 

 

"Kadar penyiapan projeknya kini berada pada 80% berbanding 75% pada suku sebelumnya.

 

"Projek solar Perun telah pun memulakan operasi pada September 2024. Bahagian teknologi hijaunya terus membuat kemajuan dengan saiz armada drive EV (cabang pemajakan EV) berkembang sebanyak 273% kepada 231 unit dan 86 stesen pertukaran bateri telah digunakan untuk perniagaan rydeEV," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM3.87 sesaham.- DagangNews.com