Khidmat helikopter merupakan pengangkutan sokongan udara yang penting di negara ini, malah banyak agensi keselamatan selain tentera memiliki cabang udara masing-masing.
Ini kerana setiap perkhidmatan termasuk dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri mempunyai penugasan berbeza terhadap operasi udara tersebut.
Begitu juga ciri-ciri yang diperlukan pada pesawat, misalnya yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat selain daripada kegunaan untuk logistik.
Perkara sering timbul ialah penggunaan helikopter berbeza menimbulkan kekangan dalam aspek penyenggaraan selain perbincangan antara pembekal dan pengilang berlainan.
Justeru, sekiranya dilihat pada aspek positif keputusan kerajaan untuk menyewa 28 buah helikopter bagi pasukan keselamatan dan ATM memberi kelebihan tersendiri kepada pengguna.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan bahawa kontrak sewaan helikopter tersebut diberikan kepada Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. (Weststar Aviation).
Penilaian memilih Weststar Aviation termasuk kapasiti modal yang diperlukan sebanyak RM122 juta serta memiliki lesen Sijil Operator Udara dan 135 juruterbang bertauliah.
Perdana Menteri berkata, kaedah pajakan untuk mendapatkan helikopter tersebut boleh meringankan beban tabung negara.
Jelas beliau lagi, pengaturan pajakan membolehkan kerajaan menjimatkan kos penyelenggaraan dan pembaikan dengan berbilion-bilion dibelanjakan setiap tahun.
Keputusan menyewa helikopter juga membolehkan jumlah pesawat yang banyak boleh dimiliki tanpa menunggu lama.
Kali terakhir negara memiliki jumlah helikopter yang besar dalam satu perolehan membabitkan pembelian helikopter Sikorsky S61A-4 atau Nuri milik TUDM
Sebanyak 44 buah helikopter Nuri dibeli kerajaan Malaysia daripada Sikorsky Aircraft Corporation, Amerika Syarikat pada tahun 1968.
Antara peranan Nuri ialah menerbangkan bantuan logistik kepada Tentera Darat selain melaksanakan operasi mencari, menyelamat dan bantuan kemanusiaan.
Ia turut memberi khidmat masyarakat melalui penerbangan ihsan terutama kepada mangsa yang ditimpa musibah seperti bencana alam dan kemalangan.
Nuri menjadi tulang belakang ATM sepanjang tempoh penggunaan sehingga ditamatkan 6 tahun lalu.
Jumlah Nuri yang banyak memudahkan aspek selenggaraan oleh TUDM apabila kru dilatih sehingga mahir dalam selok-belok pesawat.
Mengikut kontrak, Weststar Aviation bertanggungjawab untuk menjalankan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih helikopter.
Syarikat juga perlu memastikan bahawa helikopter mengekalkan tahap kesediaan dan operasi sekurang-kurangnya 85%.
Daripada jumlah itu sebanyak 12 buah untuk TUDM, TLDM (2), Polis Diraja Malaysia (7), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (4), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (2) dan Jabatan Perdana Menteri (1).
Kontrak bernilai RM16 bilion untuk tempoh 15 tahun ini adalah besar, namun jika diteliti beberapa aspek ia dilihat bersifat menang-menang.
Dengan latar belakang syarikat Weststar Aviation yang mempunyai pengalaman dalam khidmat sewaan pesawat, semestinya kerajaan telah meletakkan pertimbangan terhadap pemilihan tersebut.
Ini kerana apabila bercakap mengenai penggunaan helikopter, kita tidak dapat lari daripada faktor luar jangkaan termasuk nahas udara.
Apabila ini berlaku, masalah yang timbul ialah pengguna sama ada ATM atau agensi keselamatan lain kehilangan pesawat dan tiada helikopter pengganti.
Disebabkan proses pembelian sesuatu aset kerajaan adalah secara tawaran melalui tender maka pengguna perlu menunggu sehingga kontrak dibuka.
Selagi tiada kontrak baharu, pengguna terpaksa menyesuaikan jumlah aset sedia ada dengan keadaan sehingga kerajaan memutuskan ada pembelian.
Situasi ini yang dihadapi.
Sepanjang 10 tahun lalu berlaku enam nahas udara membabitkan kehilangan 7 helikopter milik ATM dan agensi keselamatan lain yang mana musibah berlaku adalah di luar jangkaan.
Ia melibatkan helikopter AS555 Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 yang terhempas dalam insiden perlanggaran di Pangkalan TLDM Lumut pada April lalu.
Pada Mac tahun ini juga sebuah helikopter AW139 milik APMM terhempas berhampiran Pulau Angsa, Selangor.
JBPM kehilangan sebuah helikopter AW189 yang terhempas dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor pada Julai 2023.
Dua nahas pula membabitkan aset Pasukan Gerakan Udara PDRM iaitu helikopter AW139 yang kemalangan di Tawau, Sabah pada 2020 manakala sebuah helikopter Ecureui terhempas di Tanah Merah, Kelantan ketika misi banjir pada 2014.
Sebuah helikopter Agusta A109 LUH Pasukan Udara Tentera Darat juga terhempas pada Disember 2014 semasa latihan di sebuah kawasan hutan berhampiran Empangan Bekok, Segamat, Johor.
Sehubungan itu, perlu ada satu mekanisme daripada kerajaan supaya apabila berlaku situasi tidak diingini, pasukan keselamatan mempunyai jalan tengah untuk mendapatkan aset pengganti dalam waktu segera.
Dengan adanya aset pengganti ini ia tidak merencatkan operasi dan penugasan setiap agensi dapat diteruskan. - DagangNews.com