Keputusan SPRM mengenai projek 1BestariNet, hasil Ofwat mampu beri keyakinan kepada pelabur YTL Power - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Keputusan SPRM mengenai projek 1BestariNet, hasil Ofwat mampu beri keyakinan kepada pelabur YTL Power - TA Securities

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap YTL Power International Bhd mengenai projek 1BestariNet, mampu menghapuskan ketidakpastian pelabur terhadap kumpulan itu, kata TA Securities.

 

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, hasil menggalakkan PR24 Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Air (Ofwat) yang bakal memberi manfaat kepada kumpulan akan memberi keyakinan kepada pelabur. 

 

Katanya, anak syarikat YTL Power, Wessex Water, akan mendapat manfaat daripada penentuan akhir PR24 Ofwat untuk tempoh kawal selia 2025-2030. 

 

"Hasil utama termasuk peningkatan 21% dalam purata bil isi rumah berbanding tahap PR19, berbanding keputusan draf terdahulu yang mencadangkan pengurangan sebanyak 12%.

 

"Jumlah perbelanjaan telah disemak naik sebanyak 14% daripada draf penentuan, mewakili peningkatan 68% daripada PR19.

 

"Pulangan dinaikkan kepada 4.03%, jauh lebih tinggi daripada kadar PR19 sebanyak 2.92%.

 

"Pelarasan ini diunjurkan memacu pertumbuhan 35.9% dalam nilai modal kawal selia Wessex Water dalam tempoh lima tahun, mengekalkan pulangan jangka Panjang,"katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Katanya, hasil yang lebih baik itu dijangka meningkatkan pendapatan anak syarikat, yang telah pulih semula berikutan kenaikan tarif sebanyak 12% pada April 2024, tambah firma penyelidikan itu.

 

“Pencapaian seterusnya untuk YTL Power, pada pendapat kami, ialah pentauliahan pusat datanya menjelang pertengahan CY2025 (pertengahan tahun kalendar 2025),” kata TA Securities.

 

Pembangunan berterusan, termasuk pusat data AI 100MW dan kemudahan lokasi bersama 40MW, masing-masing dijadualkan siap pada suku kedua dan ketiga CY2025.

 

"Kami meningkatkan keuntungan bersih FY26/2027 sebanyak 1.3%/2.7%.

 

"Hasil kawal selia yang lebih baik ditambah dengan operasi datanya yang berkembang meletakkan kumpulan untuk pertumbuhan yang mampan," katanya.

 

Sementara itu, TA Securities mengekalkan saranan "beli" ke atas YTL Power dan menaikkan harga sasarannya (TP) kepada RM6.53 daripada RM6.39. - DagangNews.com