Kerajaan diminta main peranan bantu perniagaan keluli, bahan binaan dan jentera hadapi kenaikan kos | DagangNews Skip to main content

Kerajaan diminta main peranan bantu perniagaan keluli, bahan binaan dan jentera hadapi kenaikan kos

Datuk Eric Koh Seng Kiat (hadapan lima dari kanan) dan Sandrea (empat dari kanan) semasa meraikan Majlis Ulang Tahun Ke-85 Persatuan Peniaga Perkakasan Cina Perak di Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 2 Okt - Perniagaan besi keluli, jentera dan bahan binaan berdepan cabaran yang mana peranan kerajaan dalam mengimbangi perkara tersebut dapat membantu pengusaha-pengusaha yang terkesan.

 

Ini termasuk memastikan matawang ringgit kekal kukuh untuk mengurangkan risiko kerugian dalam tukaran wang asing. 

 

Presiden Persatuan Peniaga-peniaga Barangan Logam Cina Perak, Datuk Eric Koh Seng Kiat berkata, dengan pengukuhan ringgit, harga besi keluli, jentera dan bahan binaan import akan berdaya saing.

 

Katanya, ini dapat mengurangkan risiko pertukaran asing bagi pengimport dan juga mengurangkan kos barangan import, dengan itu dapat mengurangkan inflasi dan akhirnya mampu meringankan beban rakyat.

 

Perak

 

“Disebabkan ekonomi global yang lembap termasuk di Negeri China yang sedang menghadapi krisis hartanah telah menyebabkan pengurangan dalam permintaan besi keluli, seterusnya mengakibatkan harganya tertekan berbanding kos bahan mentah yang melambung tinggi. 

 

“Hampir 95% kilang keluli di China mengalami kerugian. Gelombang baharu penutupan kilang, pemindahan ekuiti, penggabungan dan penyusunan semula sektor besi keluli telah berlaku,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-85 Persatuan Peniaga-Peniaga Barangan Logam Cina Perak di salah sebuah hotel di Ipoh.

 

Hadir sama ialah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching. 

 

Menurut Datuk Eric Koh Seng Kiat, kejatuhan harga besi keluli pada tahun ini menyebabkan peniaga-peniaga barangan logam terpaksa menjual stok lama dengan harga di bawah kos.

 

Selain itu katanya, industri barangan logam juga berdepan kos yang tinggi untuk menjalankan perniagaan berikutan pelaksanaan beberapa perkara.

 

“Antaranya pelaksanaan sistem invois elektronik (e-invois), pelaksanaan terhadap inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pengenalan terhadap cukai pengangkutan yang memburukkan lagi masalah kenaikan harga barang.

 

“Turut memberi kesan ialah penyelarasan ke atas paras gaji minimum, pengurangan waktu kerja mingguan dan tarif yang lebih tinggi bagi bil air, elektrik serta utiliti lain,” ujarnya.

 

Jelasnya lagi, peniaga juga terkesan dengan kenaikan drastik semua yuran lesen perniagaan dan cukai taksiran. 

 

Sebelum ini, kadar yuran lesen biasa adalah berdasarkan jenis perniagaan tetapi kaedah pengiraan telah diubah berdasarkan kawasan operasi. 

 

"Cukai taksiran telah naik berganda dalam tahun 2024 berbanding dengan tahun lepas. Tambahan pula, notis awal pihak berkuasa tempatan (PBT) menyatakan bahawa kadar bayaran untuk tahun hadapan akan meningkat 30% lagi yang mana ini menimbulkan kebimbangan.

 

“PBT seharusnya membantu mengurangkan beban kos menjalankan perniagaan yang dihadapi oleh peniaga-peniaga dan bukannya menambah beban ke atas mereka,” ujarnya. - DagangNews.com