KUALA LUMPUR 5 Nov - Kerajaan tidak akan bergantung sepenuhnya kepada data kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menentukan golongan T15 bagi penyasaran subsidi RON95.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kriteria penetapan T15 itu akan mengambil pandangan secara menyeluruh.
"Penentuan pendapatan isi rumah yang layak untuk harga RON95 bersubsidi tidak akan ditentukan semata-matanya berdasarkan tahap pendapatan isi rumah.
"Kerajaan akan meneliti perkara ini sebelum dimuktamadkan dengan mengambil kira kriteria tambahan selain daripada pendapatan.
"Kerajaan komited untuk terus membela nasib majoriti rakyat termasuk golongan pertengahan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana golongan T15 ditentukan khususnya untuk penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan 2025.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, berdasarkan data awal, penyasaran subsidi diesel setakat ini telah menjana penjimatan sekitar RM600 juta sebulan.
Beliau berkata, pada masa sama, kadar inflasi kekal pada tahap terkawal dan baru-baru ini menunjukkan penurunan dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) 2.0% pada Julai 2024, 1.9% untuk Ogos 2024 dan 1.8% pada September 2024.
Katanya, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel menunjukkan penurunan mendadak dari segi penjualan diesel daripada stesen minyak iaitu sekitar 25% atau hampir tujuh juta liter sehari mencerminkan pengurangan aktiviti penyeludupan.
"Jualan diesel secara komersial menunjukkan peningkatan hampir 50% atau empat juta liter sehari menggambarkan setakat mana sektor industri berhenti membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak," katanya.
Beliau berkata, bantuan tunai Budi Madani sebanyak RM200 sebulan atau 2,400 ringgit setahun disediakan untuk golongan petani, pekebun kecil serta pemilik persendirian kenderaan diesel berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Katanya, setakat 31 Oktober 2024, lebih 140,000 penerima Budi Individu dan 65,000 penerima Budi Agri Komoditi telah diluluskan dalam tempoh lima bulan pelaksanaan sejak Jun 2024 dengan jumlah bayaran sebanyak RM160 juta. - DagangNews.com