Kerajaan tidak pernah gagal lunaskan bayaran hutang matang, faedah ikut jadual - Menteri Kewangan II | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tidak pernah gagal lunaskan bayaran hutang matang, faedah ikut jadual - Menteri Kewangan II

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Dis - Kerajaan tidak pernah gagal dalam melunaskan obligasi bayaran hutang matang dan faedah mengikut jadual yang ditetapkan selain hanya menggunakan hasil untuk membiayai bayaran khidmat hutang (DSC). 

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, nisbah DSC kepada hasil pada kadar 15% merupakan penanda aras kepada amalan tadbir urus kewangan awam yang baik.

 

Beliau berkata, memandangkan negara mengalami situasi defisit sejak tahun 1998 sehingga kini, kerajaan perlu terus meminjam bagi membiayai defisit iaitu perbelanjaan pembangunan dan peningkatan hutang ini akan menyebabkan DSC turut meningkat. 

 

 

"Bagaimanapun, kerajaan komited dalam memastikan sasaran defisit fiskal di bawah 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sasaran hutang tidak melebihi 60% daripada KDNK seperti yang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) dapat dicapai dalam jangka sederhana.  

 

"Komitmen kerajaan melaksanakan langkah konsolidasi fiskal telah mengurangkan kadar pertumbuhan hutang.

 

"Hasilnya, kadar pertumbuhan hutang telah menunjukkan penurunan daripada 10.2%  pada 2022 kepada 8.6% pada 2023 dan diunjur pada sekitar 7% untuk 2024," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas Nair semasa sesi pertanyaan lisan Dewan Negara, hari ini.

 

Amir Hamzah berkata, antara langkah yang akan dilaksanakan bagi memastikan paras hutang dan DSC terkawal termasuk meneruskan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur bagi memastikan pinjaman baharu adalah lebih rendah berbanding semasa pandemik tanpa menjejaskan pemulihan ekonomi negara. 

 

Beliau berkata, paras defisit fiskal menunjukkan trend penurunan daripada kadar 6.4% daripada KDNK pada tahun 2021 kepada 5.5% pada 2022 dan 5% pada 2023. 

 

"Defisit 2024 diunjur akan terus berkurang kepada 4.3% dan disasarkan kepada 3.8% pada 2025. Selaras dengan pengurangan defisit, hutang baharu kerajaan berkurang daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 seterusnya kepada anggaran RM84.7 bilion pada 2024 dan disasarkan sekitar RM80 bilion pada 2025," katanya.

 

Beliau berkata, antara Langkah lain termasuk memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan. Pada 2024, kerajaan telah meluaskan skop cukai perkhidmatan dan membanteras ekonomi bayangan melalui pengenalan e-invois. 

 

Kerajaan juga akan mengoptimumkan perbelanjaan awam antaranya menerusi pelaksanaan program penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95 bagi tahun 2025. 

 

Pada masa yang sama, kerajaan menambah baik pemberian bantuan tunai kepada rakyat, selain memastikan pinjaman adalah semata-mata untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

"Strategi pinjaman yang mengutamakan sumber pasaran modal tempatan untuk meminimumkan pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing dan penetapan had siling jaminan Kerajaan melalui Akta 850 tidak melebihi nisbah 25% daripada KDNK," katanya. - DagangNews.com