Kerjaya Prospek peroleh dua kontrak pembangunan berjumlah RM34.4 juta | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek peroleh dua kontrak pembangunan berjumlah RM34.4 juta

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt - Kerjaya Prospek Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd memeroleh dua kontrak baharu masing-masing daripada Pixel Valley Sdn Bhd dan Greencove Sdn Bhd, berjumlah RM34.4 juta.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak pertama yang bernilai RM16 juta melibatkan kerja-kerja cerucuk dan penutup cerucuk bagi pembangunan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Kontrak kedua, bernilai RM18.45 juta akan membabitkan kerja tanah dan kerja struktur bagi cadangan pembangunan di Damansara Damai, Selangor.

 

"Kedua-dua projek itu akan bermula pada 5 November 2024 dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

 

"Selain itu, kontrak tersebut dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong berkata, penerimaan kontrak itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menyampaikan perkhidmatan pembinaan berkualiti tinggi. 

 

“Kami berharap untuk mengukuhkan lagi kedudukan pasaran kami dan menyumbang dengan ketara kepada kejayaan perkembangan ini,” katanya.

 

Beliau berkata, dengan jumlah 10 kontrak bernilai RM1.6 bilion yang diperolehi setakat ini, buku pesanan tertunggak kumpulan kini berjumlah RM4.5 bilion.- DagangNews.com