KUALA LUMPUR 14 Jan - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan, Kimlun Corp Bhd (Kimlun) menjual sebidang tanah pegangan bebas seluas 56.5 hektar di Kota Tinggi, Johor, dengan harga RM55 juta kepada KT Techpark Sdn Bhd.
Unit milik penuh tidak langsungnya, Kitaran Lintas Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jual beli tersebut.
KT Techpark adalah entiti yang dimiliki 50%, dengan Ng Say Piyu sebagai pemegang saham terbesar, manakala Lam Fung Eng dan Ng Chong Boon masing-masing memiliki pegangan saham yang sama pada baki kepentingan.
"Tanah tersebut digunakan untuk penanaman kelapa sawit. Sepanjang tiga tahun lalu, ia menghasilkan 1,950 tan metrik tandan buah segar (FFB)," menurut kenyataan Kimlun kepada Bursa Malaysia, semalam.
Penyata kewangan diaudit terkini Kimlun untuk tahun kewangan 2023 mendapati, tanah tersebut menyumbang kepada kerugian bersih sebanyak RM500,000 untuk tahun berkenaan.
Harga jualan itu mewakili premium sebanyak 59.98% berbanding nilai buku bersih tanah sebanyak RM34.48 juta pada 31 Disember 2023.
Tiada penilaian dilakukan ke atas tanah tersebut.
Kimlun melihat jualan itu sebagai peluang untuk membuka dan merealisasikan nilai tanah tersebut, dengan kumpulan dijangka merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM13.7 juta.
Hasil daripada jualan tersebut akan digunakan untuk modal kerja am dan bagi membiayai syarikat usaha sama (JVco) pembangunan hartanah dengan Astaka Holdings Bhd yang tersenarai di Singapura, Astaka Kimlun Sdn Bhd (Astaka Kimlun).
Kimlun memegang 49% dalam Astaka Kimlun melalui anak syarikat milik penuhnya, Kii Amber Sdn Bhd, manakala Astaka Capital Sdn Bhd yang dimiliki 50.99% oleh Astaka, memiliki 51% dalam JVco tersebut.
Jualan itu dijangka diselesaikan dalam tempoh sembilan bulan, iaitu menjelang Oktober 2025.
Saham Kimlun Corp Bhd ditutup dengan penurunan dua sen pada RM1.12 semalam, memberikan kumpulan permodalan pasaran sebanyak RM395.79 juta. - DagangNews.com