KUALA LUMPUR 13 Jan - Penyedia rumusan tenaga mampan, Kinergy Advancement Bhd (KAB) telah diklasifikasikan semula kepada subsektor tenaga boleh diperbaharui (RE) Bursa Malaysia yang baharu diperkenalkan dalam sektor tenaga dan utiliti.
Pengelasan semula yang berkuat kuasa pada 13 Januari 2025, telah diumumkan semasa pelancaran Subsektor Tenaga Boleh Diperbaharui yang diadakan hari ini di Bursa Malaysia.
KAB sebelum ini disenaraikan di bawah subsektor produk & perkhidmatan industri dalam sektor Kejuruteraan Industri.
Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, pengelasan semula ini mencerminkan visi strategik kumpulan.
“Kami bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan menyediakan rumusan mampan dan inovatif bagi mentakrifkan semula penanda aras industri.
"Prestasi kewangan kukuh kumpulan menyerlahkan kejayaan strategi pengembangan kami, yang telah mengubah KAB menjadi syarikat tenaga dinamik.
"Menerima pengiktirafan berprestij ini juga mencerminkan usaha berterusan kami mencapai kecemerlangan dan keupayaan kami bagi memenuhi permintaan sektor tenaga yang semakin berkembang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Di samping itu, Pengarah Penyenaraian Bursa Malaysia, Leong See Meng, berkata, pengelasan semula di bawah kategori RE menggariskan potensi besar landskap RE Malaysia.
"Inovasi sektor swasta akan memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat negara mencapai 70% kapasiti RE menjelang 2050," katanya. - DagangNews.com