KLDX dan AsiaNext pacu inovasi merentas sempadan dalam pasaran aset digital | DagangNews Skip to main content

KLDX dan AsiaNext pacu inovasi merentas sempadan dalam pasaran aset digital

CEO KLDX, Selvarany Rasiah (duduk kiri) menandatangani MoU dengan CEO AsiaNext, Chong Kok Kee (duduk kanan) sambil disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Shivakumar Nair (berdiri kiri) dan Pengerusi KLDX, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Okt - Bursa sekuriti digital terkemuka Malaysia, KLDX, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan bursa sekuriti aset digital global untuk pelabur institusi, AsiaNext, bertujuan membolehkan penyenaraian silang aset digital dan mewujudkan peluang baharu untuk pelabur di Malaysia dan Singapura. 

 

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Asia School of Business, menandakan permulaan kerjasama strategik yang akan memberikan perkongsian jangka panjang yang tertumpu kepada mewujudkan ekosistem aset digital yang lancar dan bersepadu di rantau ASEAN.

 

Upacara menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KLDX, Selvarany Rasiah dan Ketua Pegawai Eksekutif AsiaNext, Chong Kok Kee sambil disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Shivakumar Nair dan Pengerusi KLDX, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani. 

 

MoU itu mewujudkan rangka kerja kerjasama untuk memacu ekosistem aset digital yang lancar dan bersepadu antara Malaysia dan Singapura dalam jangka masa panjang di rantau ASEAN.

 

Selvarany berkata, KLDX mahu menyediakan pasaran yang lebih telus dan mudah diakses untuk aset digital serta memperkasakan perniagaan untuk meraih modal dengan cepat.

 

"Kami juga menawarkan pelabur rangkaian produk pelaburan berkualiti tinggi yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kok Kee menyifatkan, pelabur dan syarikat mempunyai keperluan yang sentiasa berubah dan kerjasama itu akan memupuk pembangunan bersama produk kewangan inovatif yang disesuaikan dengan keperluan.

 

"Kerjasama ini membolehkan kami menawarkan rangkaian aset digital yang lebih luas, meningkatkan kecairan dan memacu inovasi dalam ruang kewangan digital," ujar beliau.

 

MoU tersebut menandakan peristiwa penting dalam landskap kewangan digital Asia.

 

Dengan memanfaatkan kecairan rentas sempadan, KLDX dan AsiaNext bukan sahaja akan memudahkan akses pasaran yang lebih mendalam, tetapi juga membuka pintu untuk inovasi dalam penawaran produk dan peluang pelaburan.

 

Perkongsian itu bertujuan untuk meningkatkan keupayaan kedua-dua platform untuk memberikan akses kepada pangkalan pelabur yang lebih luas dan menarik lebih banyak syarikat-syarikat yang ingin mendapatkan modal. 

 

Kedua-dua KLDX dan AsiaNext komited untuk beroperasi dalam rangka kerja kawal selia masing-masing. 

 

Kerjasama itu memastikan pematuhan kepada semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan, mengutamakan ketelusan dan keselamatan. - DagangNews.com