KUALA LUMPUR 2 Dis - Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) mengumumkan pelancaran rasmi Pusat Vaksinasi baharunya, satu inisiatif khusus yang bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan vaksinasi yang mudah diakses dan menyeluruh kepada penduduk Malaysia.
Pusat vaksinasi baharu itu yang dibuka di lima hospital KMI, berfungsi sebagai hab untuk pelbagai program vaksinasi, termasuk imunisasi rutin, vaksinasi bermusim dan program khusus untuk kumpulan berisiko tinggi.
Hospital-hospital terlibat adalah KMI Kelana Jaya, KMI Kuantan, KMI Kuala Terengganu, KMI Taman Desa dan KMI Tawau.
Untuk memastikan pengalaman yang lancar buat pengguna, Pusat Vaksinasi KMI telah memperkemas dan mengukuhkan proses dalaman untuk meminimumkan masa menunggu, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menyediakan perjalanan vaksinasi yang selesa dan boleh dipercayai untuk semua pesakit.
Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, Pusat Vaksinasi KMI memainkan peranan penting memperluaskan akses penjagaan kesihatan kepada rakyat Malaysia dalam lanskap kesihatan global yang sentiasa berubah.
"Pusat Vaksinasi KMI mencerminkan komitmen strategik kami terhadap pencegahan penyakit, memastikan komuniti mempunyai akses yang lebih baik kepada vaksin dan melindungi kesihatan awam," katanya semasa berucap pada pelancaran rasmi Pusat Vaksinasi baharunya, di sini, hari ini.
Dalam majlis yang sama, KMI Healthcare turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Amden Capital Sdn. Bhd. (Amden Capital) dalam penyediaan perkhidmatan sokongan kewangan yang inovatif untuk pesakitnya.
Perkongsian itu memperkenalkan pembiayaan perubatan patuh syariah bagi meringankan beban kewangan pesakit, termasuk pembiayaan dengan had maksimum sehingga RM50,000 bagi prosedur yang tidak dilindungi insurans.
"Kerjasama dengan Amden Capital ini mencerminkan visi bersama untuk mengutamakan kesejahteraan pesakit, dengan menangani halangan kewangan untuk rawatan.
"Kami memperkasakan pesakit untuk memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting iaitu pemulihan dan kesihatan keseluruhan mereka," ujarnya.
Sebagai penyedia penjagaan kesihatan utama di Malaysia, KMI Healthcare terus memperluaskan perkhidmatannya bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat.
Pelancaran Pusat Vaksinasi KMI dan kerjasama bersama Amden Capital mencerminkan dedikasi KMI Healthcare dalam menyampaikan penyelesaian inovatif untuk meningkatkan kehidupan komuniti dan masyarakat secara keseluruhan. - DagangNews.com