Konsortium bank digital Islamik diketuai KAF IB terima kelulusan dari BNM dan MOF untuk memulakan operasi | DagangNews Skip to main content

Konsortium bank digital Islamik diketuai KAF IB terima kelulusan dari BNM dan MOF untuk memulakan operasi

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Jan - Konsortium bank digital Islamik yang diketuai oleh KAF Investment Bank Bhd (KAF IB), menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memulakan operasi, berkuat kuasa 20 Disember 2024.

 

Konsortium itu yang terdiri daripada KAF IB, Carsome, MoneyMatch, Jirnexu dan StoreHub berkata, bank digital KAF Digital Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai KAF Digital Bank, telah menerima kelulusan tersebut selepas melalui semakan kesiapsiagaan operasi yang menyeluruh.

 

"KAF Digital Bank akan segera melangkah ke fasa ujian alfa dengan kumpulan pengguna terpilih kecil, sebelum beralih ke fasa beta dengan kumpulan pengguna yang lebih luas.

 

"Setelah ujian kumpulan tertutup selesai dengan jayanya, KAF Digital Bank akan bersedia untuk pendaftaran awam," kata KAF IB dalam satu kenyataan.

 

Konsortium itu adalah satu daripada lima pemohon yang berjaya memperoleh lesen bank digital yang diluluskan oleh MOF dalam satu pengumuman oleh BNM pada April 2022.

 

Ia turut menerima lesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

 

KAF IB berkata, bank digital itu berhasrat menyediakan kemudahan perbankan yang kukuh dan tahan lasak yang menyokong kepercayaan dan jangkaan rakyat Malaysia.

 

"Bersama rakan konsortium, KAF Digital Bank mahu memberi perkhidmatan kepada rakyat sambil terus berusaha untuk menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan inovatif yang patuh syariah," ujarnya.

 

KAF Digital Bank dan satu lagi bank digital di bawah konsortium Sea Ltd dan YTL Power International Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh YTL Digital Capital Sdn Bhd, adalah dua lagi daripada lima penerima lesen bank digital yang belum melancarkan platform mereka.

 

Bank GX yang dipimpin Grab dilancarkan pada November 2023, diikuti oleh AEON Bank (M) Bhd pada Mei 2024 dan Boost Bank yang dimiliki oleh Axiata Group Bhd-RHB Bank Bhd pada Jun tahun yang sama.

 

Dengan kelulusan pengawalseliaan tersebut, bank digital KAF IB semakin hampir dengan pelancaran yang dijangkakan, manakala bank digital Sea-YTL Power dijangka dilancarkan tahun ini. - DagangNews.com