KUALA LUMPUR 17 Dis - Kontrak Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilanjutkan dua tahun lagi, berkuat kuasa 1 Mac 2025.
Lanjutan tersebut dibuat semalam oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Tempoh perkhidmatan beliau sepatutnya berakhir pada 28 Februari depan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh MCMC dan Kementerian Komunikasi berhubung lanjutan itu, demikian menurut laporan The Edge.
Mohamad Salim yang juga Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd, mula memegang jawatan tersebut pada 1 Mac 2023, selepas meletak jawatan sebagai pengerusi sementara yang dipegangnya dari Jun hingga Disember 2022.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli panel perundingan dan pencegahan rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari 2022 hingga 2024.
Pada November lalu, beliau dilantik sebagai profesor adjung di Universiti Multimedia.
Dalam perkembangan lain, Dewan Rakyat bulan ini menangguhkan undian mengenai Rang Undang-Undang (Pindaan) SKMM 2024, yang bertujuan menyusun semula jabatan MCMC dan memperluas fungsinya.
Satu daripada pindaan utama dalam rang undang-undang yang dicadangkan adalah untuk memisahkan peranan Pengerusi MCMC dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO).
CEO yang akan dilantik oleh menteri berdasarkan cadangan suruhanjaya itu, akan mengambil alih tanggungjawab dan kuasa pentadbiran pengawal selia tersebut daripada Pengerusi. - DagangNews.com