KUALA LUMPUR 26 Nov - Hasil KPJ Healthcare Bhd pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) melebihi RM1 bilion buat kali pertama, menjangkakan landskap penjagaan kesihatan kekal dinamik.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, mereka akan terus menyampaikan inisiatif strategiknya termasuk pengoptimuman aset, pengembangan katil dan pemerolehan bakat.
“Bergerak ke hadapan, kami komited untuk menegakkan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin.
“Industri ini terus berdepan dengan landskap bakat berdaya saing dalam industri penjagaan kesihatan serta tekanan terhadap kos dijangka kekal dalam masa terdekat. Kami kekal yakin dengan prospek tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2024,” katanya.
Pada 3QFY24, hasil KPJ meningkat kepada RM1.03 bilion daripada RM906.89 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, didorong oleh peningkatan jumlah pesakit dan peningkatan kapasiti katil di seluruh rangkaiannya.
Sebaliknya, untung bersih kumpulan turun kepada RM86.03 juta daripada RM91.75 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24), KPJ melaporkan hasil RM2.87 bilion, meningkat 15% daripada RM2.51 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Keuntungan bersih 9MFY24 pula meningkat kepada RM233.30 juta daripada RM190.02 juta setahun sebelumnya.
KPJ telah mengisytiharkan dividen interim keempat bagi tahun kewangan semasa sebanyak 1.15 sen sesaham, berjumlah RM50.2 juta. Dividen ini akan diagihkan kepada pemegang saham pada 27 Disember 2024.
Dengan perkhidmatan yang dipertingkatkan dan peningkatan kapasiti katil, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Chin Keat Chyuan berkata, kumpulan itu akan meneruskan memenuhi keperluan pesakit dan mencapai keputusan yang lebih kukuh.
"Kami kekal fokus untuk memberikan nilai yang lebih besar sambil mengembangkan perkhidmatan kami untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan negara yang semakin meningkat," katanya. - DagangNews.com