KUALA LUMPUR 11 Dis - KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mencapai satu lagi kejayaan besar dalam kecemerlangan modal insan apabila memenangi tiga anugerah berprestij yang mengukuhkan kedudukannya sebagai majikan terkemuka dalam industri penjagaan kesihatan Malaysia.
Kumpulan diiktiraf di Graduates’ Choice Award, HR Asia Best Companies to Work for di HR Asia Awards dan 24th Malaysia-International HR Awards 2024, yang menyerlahkan dedikasi KPJ Healthcare dalam membangunkan bakat, mencipta budaya tempat kerja yang positif dan memajukan amalan sumber manusia yang terbaik.
Di Graduates’ Choice Award 2025, KPJ Healthcare dinobatkan sebagai juara dalam Kategori Penjagaan Kesihatan (Hospital).
Pengiktirafan itu, yang ditentukan oleh pelajar universiti di seluruh Malaysia, mencerminkan keupayaan kumpulan untuk menarik perhatian bakat muda.
KPJ Healthcare juga berjaya disenaraikan sebagai satu daripada Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia 2024 di HR Asia Awards.
Berdasarkan maklum balas langsung daripada pekerja, anugerah tersebut mengiktiraf kejayaan kumpulan dalam membina persekitaran kerja yang inklusif.
Di 24th Malaysia-International HR Awards 2024, Hospital Pakar KPJ Klang dan Hospital Pakar KPJ Kajang dianugerahkan pingat emas untuk kategori Majikan Pilihan (Sektor Swasta).
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara & Pantai Timur, Renuga Muniandy, turut mengharumkan nama KPJ Healthcare dengan apabila beliau menerima pengiktirafan Anugerah HR Champion yang berprestij atas kepimpinan cemerlang beliau dalam inovasi modal insan.
Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan KPJ Healthcare sebagai majikan pilihan yang dipercayai dan peneraju dalam pengurusan sumber manusia penjagaan kesihatan.
Dengan memberi keutamaan kepada pembangunan bakat, inklusiviti dan strategi sumber manusia yang inovatif, KPJ Healthcare terus menarik serta mengekalkan bakat terbaik, sekali gus memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang di seluruh Malaysia. - DagangNews.com