Kumpulan syarikat LTAT salurkan bantuan kewangan dan barangan bernilai RM782,800 untuk mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

Kumpulan syarikat LTAT salurkan bantuan kewangan dan barangan bernilai RM782,800 untuk mangsa banjir

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Dis – Bagi mengurangkan penderitaan penduduk yang terjejas akibat banjir di seluruh Malaysia, kumpulan syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melaksanakan inisiatif bantuan bernilai RM782,800 terdiri daripada sumbangan kewangan dan agihan pelbagai jenis barangan keperluan.

 

Dengan kerjasama GLIC/GLC Demi Rakyat & Negara (GDRN) yang diterajui kerajaan, antara syarikat terlibat adalah Pharmaniaga Berhad, Boustead Holdings Berhad (BHB), Boustead Plantations (BPlant), Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol), Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Properties Berhad (BProp) dan Affin Group Berhad (Affin).

 

Agihan bantuan berkenaan dilaksanakan bersama Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO). 

 

ltat

 

Pharmaniaga mengedarkan lebih 24,000 pek ubat-ubatan termasuk vitamin dan makanan tambahan bagi menyokong usaha bantuan pemulihan di Terengganu dan Kelantan, sementara BPlant menyumbang sebanyak RM50,000 kepada NGO yang membantu mangsa terjejas banjir di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang. 

 

BHB, BProp dan BHIC menyokong NGO di Kelantan dengan sumbangan sebanyak RM27,500, manakala BHPetrol membekalkan 400 pek barangan keperluan asas ke pusat pemindahan melalui Kementerian Pertahanan dan ATM di Kelantan. 

 

Affin pula menawarkan Natural Disaster Relief Programme (NDRP) bagi membantu pelanggan yang terjejas dengan banjir melalui bantuan kewangan untuk pelbagai pinjaman dan produk kewangan, termasuk permohonan moratorium sehingga enam bulan, tertakluk kepada terma dan syarat. 

 

LTAT

 

Inisiatif itu juga mengetengahkan komitmen LTAT dan Yayasan LTAT terhadap usaha pemulihan pasca banjir, termasuk menyediakan sokongan sukarelawan kepada veteran di kawasan terjejas.

 

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, dalam menghadapi cabaran berterusan banjir, pihaknya kekal proaktif bersama rakan strategik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas. 

 

"Fokus utama kami adalah memberikan sokongan segera kepada keluarga, khususnya anggota ATM dan veteran, yang memainkan peranan penting dalam respons bencana. 

 

"Kami berharap usaha ini dapat memudahkan urusan mangsa dan bantuan yang diberikan boleh meringankan beban mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mohammad Ashraf turut menghargai pengorbanan dan dedikasi tidak berbelah bahagi barisan hadapan, sukarelawan serta pasukan sokongan khususnya anggota ATM yang banyak membantu usaha berkenaan.

 

"Usaha ini menyerlahkan komitmen teguh LTAT dan kumpulan syarikatnya dalam menyokong mangsa yang terjejas akibat banjir, memastikan bantuan segera dan pemulihan jangka panjang dapat dilaksanakan," ujarnya. - DagangNews.com