Kunjungan Ian Murray ke Heriot-Watt University Malaysia perkukuh hubungan Scotland dan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kunjungan Ian Murray ke Heriot-Watt University Malaysia perkukuh hubungan Scotland dan Malaysia

Ian Murray (duduk tengah) semasa kunjungan ke Heriot-Watt University Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Dis - Heriot-Watt University Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Negara Scotland, Ian Murray, sempena lawatan antarabangsa sulung beliau ke Malaysia, baru-baru ini.

 

Lawatan beliau ke kampus lestari universiti itu di Putrajaya pada 28 November lalu menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan antara Scotland dan Malaysia, bertepatan dengan pelancaran inisiatif Brand Scotland di Malaysia dan Singapura.

 

Kunjungan bersama Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur, David Wallace itu disambut oleh Pro-Naib Canselor dan CEO Heriot-Watt University Malaysia, Profesor Mushtak Al-Atabi.

 

Kemuncak lawatan itu ialah perbincangan menarik bersama Murray yang dikendalikan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Heriot-Watt University Malaysia, Pearlyn Tan. 

 

Antara topik perbincangan termasuk inisiatif Brand Scotland dan program GoGlobal, iaitu program pemindahan antara kampus yang hanya tersedia untuk mahasiswa Heriot-Watt.

 

Murray berkata, kunjungan ke kampus itu adalah satu penghormatan memandangkan Heriot-Watt University Malaysia mempromosikan Scotland dan pendidikan tinggi negaranya di rantau ini, sambil memperkukuh hubungan pendidikan antara dua negara.

 

"Heriot-Watt mengetuai dalam penyelidikan dan inovasi, menyediakan pelajar untuk sektor-sektor pertumbuhan utama seperti tenaga boleh diperbaharui, kejuruteraan dan sains hayat. 

 

"Universiti-universiti Scotland memang terkenal di peringkat antarabangsa dan ini adalah contoh cemerlang pendidikan bertaraf dunia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Heriot-Watt University adalah universiti penyelidikan global yang mempunyai lima kampus di Scotland (Edinburgh, Scottish Borders dan Orkney), Dubai dan Malaysia. 

 

Ia ditubuhkan di Edinburgh, Scotland pada tahun 1821 sebagai institut mekanik pertama di dunia, dan seterusnya diiktiraf sebagai universiti melalui Piagam Diraja pada 1996.

 

Universiti itu dinamakan sempena jurutera dan pencipta Scotland abad ke-18, James Watt dan dermawan serta tukang emas Scotland abad ke-16, George Heriot.

 

Sementara itu, Profesor Mushtak berkata, pihaknya berbesar hati menyambut kunjungan Murray ke kampusnya.

 

"Di Heriot-Watt, kami berbangga bukan sahaja dengan pendidikan Britain yang berkualiti tinggi, tetapi juga dengan usaha kami untuk melahirkan pemimpin yang bersedia membentuk masa depan. 

 

"Lawatan oleh Murray menekankan peranan penting pendidikan dalam merapatkan budaya dan memberdayakan generasi masa depan," katanya. - DagangNews.com