KUALA LUMPUR 24 Dis - Kerajaan mansuhkan had kapasiti permintaan sebanyak 85% bagi pengguna bukan domestik di bawah program penggunaan sendiri (SelCo) dan membenarkan pemasangan panel solar di atas tanah dan di atas air.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), pelupusan had kapasiti itu termasuk dalam perubahan garis panduan ditetapkan yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2025.
Program yang diperkenalkan pada 2017 itu, sebelum ini terhad kepada pemasangan system solar fotovoltaik (PV) di atas bumbung.
Pada masa itu, pemilik kilang hanya boleh memasang panel solar untuk menampung 85% daripada permintaan elektrik kemudahan tersebut.
Tenaga elektrik yang dijana di bawah program SelCo adalah untuk kegunaan sendiri dan lebihan tidak dibenarkan untuk dieksport ke grid.
Perubahan lain pada garis panduan program termasuk memperluaskan liputannya bagi memasukkan pengguna di bawah kategori pertanian dan menetapkan keperluan pemasangan sistem penyimpanan tenaga.
Petra berkata, perubahan ini adalah selaras dengan dasar dan komitmen semasa kerajaan untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga dan permintaan untuk membenarkan pemasangan sistem solar di darat dan di atas air.
“Petra yakin penambahbaikan garis panduan program SelCo akan membuka akses yang lebih luas kepada bekalan elektrik hijau kepada pengguna, terutamanya sektor korporat dan industri, bagi memenuhi komitmen ESG, serta menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70% campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050,” katanya.- DagangNews.com