Lebih 60% CEO Malaysia optimis terhadap prospek ekonomi global tetapi meragui daya maju jangka panjang syarikat - tinjauan PwC | DagangNews Skip to main content

Lebih 60% CEO Malaysia optimis terhadap prospek ekonomi global tetapi meragui daya maju jangka panjang syarikat - tinjauan PwC

Lebih 80% CEO menjangkakan ekonomi tempatan bertambah baik tahun ini, berbanding hanya 41% tahun lepas - Gambar hiasan dari freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Jan - Sebanyak 68% Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia yakin tentang prospek ekonomi global, menjangkakan pertumbuhan global bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang, peningkatan ketara daripada hanya 23% dalam tinjauan tahun lepas, kata PricewaterhouseCoopers (PwC).

 

Lebih 80% CEO menjangkakan ekonomi tempatan bertambah baik tahun ini, berbanding hanya 41% tahun lepas, lapornya dalam Kaji Selidik CEO Global Tahunan ke-28, yang meninjau 4,701 CEO termasuk 1,520 dari rantau Asia-Pasifik dan 31 dari Malaysia.

 

"Walaupun prospek ekonomi global dan tempat dilihat positif, CEO Malaysia bimbang tentang cabaran utama seperti ketersediaan pekerja mahir yang terhad, diikuti oleh risiko siber dan gangguan teknologi," katanya. 

 

Kebimbangan ini berbeza daripada kebimbangan CEO global dan Asia Pasifik, yang mengutamakan ketidaktentuan makroekonomi dan inflasi sebagai ancaman utama.

 

Pengerusi Global PwC, Mohamed Kande, berkata, pemimpin perniagaan harus mencipta semula model perniagaan yang efektif dan menangkap nilai bagi memastikan syarikat berkembang.

 

"Teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan generatif (GenAI), peralihan dalam geopolitik dan peralihan iklim semuanya membawa cabaran kepada perniagaan. 

 

"Pemimpin perniagaan mesti bertindak sekarang dan mengambil langkah yang sepatutnya bagi mencipta semula model perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tinjauan itu menggariskan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan CEO Malaysia mengenai daya maju organisasi mereka.

 

Sekurang-kurangnya 55% CEO percaya syarikat mereka tidak akan kekal berdaya maju dalam tempoh sedekad jika mereka meneruskan trajektori semasa mereka.

 

PwC berkata, 42% daripada CEO Malaysia telah meneroka sektor baharu dalam tempoh lima tahun yang lalu untuk kekal relevan, sejajar dengan trend global, di mana 38% daripada CEO telah mengambil langkah yang sama.

 

Walau bagaimanapun, lebih sedikit perniagaan Malaysia mengambil langkah untuk menceburi bidang yang mencabar, seperti merintis laluan pasaran baharu atau mengguna pakai model penetapan harga inovatif.

 

Kecerdasan buatan (AI) kekal sebagai topik kritikal namun memecahbelahkan dalam kalangan CEO Malaysia. Walaupun 34% mengintegrasikan AI ke dalam proses perniagaan utama, majoriti kekal berhati-hati.

 

Rakan Kongsi Pengurusan di PwC Malaysia, Soo Hoo Khoon Yean menekankan kepentingan AI dalam perniagaan, seperti menilai kesediaan data mereka dan memastikan pengurusan yang bertanggungjawab dan pengawasan manusia dalam mengumpul dan mentafsir data.

 

"Ini memberikan peluang unik kepada syarikat Malaysia membezakan diri mereka dengan meningkatkan tadbir urus data, satu langkah penting dalam memajukan agenda pendigitalan negara," katanya.  - DagangNews.com