SUNGAI BAKAP 14 Nov - Penyedia penyelesaian pembungkusan industri terintegrasi, L&P Global Berhad (L&P) melantik Lee Soon Swee sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan, berkuatkuasa 13 November 2024.
Soon Swee mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejuruteraan, dengan kepakaran dalam sains terapan dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) di industri aeroangkasa, semikonduktor dan sains hayat.
Beliau turut memegang peranan teknikal dan kepimpinan di organisasi terkemuka seperti Institut Penyelidikan Penerbangan Kebangsaan dan MEMC Electronic Materials Inc. di Amerika Syarikat (AS), Applied Materials Southeast Asia Pte Ltd, TMC Life Sciences Berhad di Malaysia, serta Pall Corporation di Malaysia dan Singapura.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah memacu inovasi teknikal, terlibat dalam pembangunan bahan komposit maju, mengoptimumkan proses fabrikasi litar bersepadu, menyelesaikan isu mikro kontaminasi dan mereka bentuk peralatan makmal untuk meningkatkan hasil klinikal dalam teknologi perubatan.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Aeroangkasa dan Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Wichita State University, AS.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif L&P, Ooi Lay Pheng berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan pelantikan Soon Swee ke lembaga pengarah syarikat, di mana inovasi dan kelestarian sentiasa menjadi komitmen teras kumpulan.
"Dengan rekod prestasi beliau yang terbukti dalam R&D dan sains bahan, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk meneroka penyelesaian pembungkusan inovatif yang bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan kami yang sentiasa berubah, tetapi juga membuka peluang untuk berkembang ke segmen pasaran baharu.
"Kepimpinan dan kemahiran kejuruteraan beliau, boleh membantu kami mengoptimumkan serta meningkatkan kecekapan operasi," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com