SUNGAI BAKAP 2 Dis - Penyedia penyelesaian pembungkusan industri bersepadu, L&P Global Berhad (L&P) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Lee Kah Choon sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif bermula 1 Disember 2024, menggantikan Datuk Ooi Hooi Kiang.
Beliau merupakan ahli Lembaga L&P sejak Januari 2022 dan berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penamaan dan ahli Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko serta Jawatankuasa Imbuhan L&P.
Dengan latar belakang sebagai peguam, Kah Choon membawa pengalaman luas dalam tadbir urus, pembangunan perniagaan dan pelaburan strategik.
Beliau telah berkhidmat sebagai ahli lembaga pelbagai syarikat berkaitan Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Di samping itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Parlimen, Ahli Parlimen dan Ahli Majlis Perbandaran, menunjukkan komitmennya dalam membentuk dasar dan memupuk pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang.
Beliau turut memegang jawatan kepimpinan dalam pelbagai syarikat awam dan swasta, merangkumi industri seperti pembuatan, pembungkusan, logistik, peralatan elektrik & elektronik, serta pengeluaran makanan, di mana beliau memimpin inisiatif strategik dan pertumbuhan.
Selain itu, beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Pelaburan di Areca Capital.
Pada masa sama, L&P turut melantik Hew Hein Hwei sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, berkuat kuasa tarikh sama.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri pembuatan dan pembungkusan, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal dan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), beliau juga pernah memegang jawatan kepimpinan utama di syarikat multinasional termasuk CHEP (anak syarikat Brambles Industries Limited), UNITED CAPS, Pemara Labels (Malaysia) Sdn Bhd dan Global Closure Systems.
Sepanjang kerjayanya, Hein Hwei menunjukkan kepakaran dalam memacu pertumbuhan yang menguntungkan, mengoptimumkan operasi strategik dan mencapai kecemerlangan operasi.
Beliau berjaya memimpin pasukan di seluruh rantau Asia Pasifik (APAC), mempertingkatkan strategi perniagaan serantau dan mencapai kejayaan kewangan organisasi.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif L&P, Ooi Lay Pheng berkata, susulan dua pelantikan baharu berkenaan, syarikat kini memasuki fasa baharu yang memerlukan pendekatan berbeza untuk menghadapi peluang dan cabaran yang berkembang.
Menurutnya, pemahaman mendalam Kah Choon tentang strategi korporat dan pembangunan perniagaan akan memberikan panduan yang amat bernilai ketika syarikat menghadapi landskap perniagaan yang sentiasa berkembang, manakala pengalaman luas Hein Hwei dalam industri pembungkusan, terutamanya dalam pembungkusan makanan dan farmaseutikal, sangat sesuai dengan fokus sedia ada L&P dalam sektor-sektor tersebut.
"Gabungan pengalaman mereka akan menjadi aset penting dalam membentuk masa depan L&P dan memacu pertumbuhan lestari jangka panjang.
"Kami mengiktiraf kepentingan lembaga yang berkongsi komitmen kami terhadap kerja berpasukan, saling hormat dan kecemerlangan operasi, memastikan pasukan eksekutif dan lembaga bekerjasama," katanya dalam satu kenyataan.
Lay Pheng dalam pada itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hooi Kiang atas sumbangannya sepanjang tempoh beliau sebagai pengerusi lembaga. - DagangNews.com