Makmal Perubatan Lablink lancarkan perkhidmatan menyeluruh diagnostik mikologi swasta pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Makmal Perubatan Lablink lancarkan perkhidmatan menyeluruh diagnostik mikologi swasta pertama di Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Okt - Penyedia terkemuka perkhidmatan diagnostik canggih, Makmal Perubatan Lablink (Lablink), mengumumkan pelancaran perkhidmatan khusus mikologi, menjadikannya makmal rujukan swasta pertama di Malaysia dengan ujian mikologi yang menyeluruh. 

 

Penawaran baharu itu menandakan langkah penting dalam komitmen Lablink untuk meningkatkan keupayaan diagnostik dan memperbaiki hasil rawatan pesakit.

 

Pelancaran perkhidmatan mikologi diadakan sewaktu Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia dengan Kerjasama KPJ Healthcare dan rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kehadiran barisan profesional bidang kesihatan, pakar industri dan pihak berkepentingan.

 

Mikologi, iaitu kajian tentang kulat, penting untuk mendiagnos jangkitan kulat yang semakin lazim dan boleh mengancam nyawa. 

 

lablink

 

Penyakit kulat menjejaskan lebih satu bilion penduduk di seluruh dunia dan menyebabkan lebih 1.5 juta kematian setiap tahun. 

 

Di Malaysia, dianggarkan 1.93% penduduk mengalami jangkitan kulat yang serius setiap tahun, bersamaan lebih 590,000 kes. 

 

Antara kes itu adalah kandidiasis vagina berulang adalah sangat lazim, dengan lebih 500,000 kes dilaporkan setiap tahun. 

 

Jangkitan kulat sangat berbahaya bagi individu yang memiliki sistem imun yang lemah seperti pesakit HIV/AIDS, pesakit kanser dan mereka yang berada di unit rawatan intensif.

 

Iklim tropika Malaysia mewujudkan persekitaran ideal untuk kulat seperti Aspergillus, Cryptococcus dan Histoplasma. 

 

Walaupun keperluan semakin meningkat, diagnostik mikologi agak ketinggalan berbanding bidang seperti bakteriologi dan virologi, di mana banyak jangkitan kulat tidak dapat dikesan kerana diagnostik yang terhad dan pemantauan terhadap ketahanan antifungal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Makmal Perubatan Lablink, Dolly Lim berkata, makmalnya menawarkan ujian mikologi yang menyeluruh. 

 

"Lablink sedia untuk berfungsi sebagai hab yang membekalkan akses kepada teknologi terkini dan keupayaan ujian mikologi yang menyeluruh kepada pakar kesihatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Lablink kini menjadi makmal rujukan swasta pertama untuk mikologi, menawarkan perkhidmatan ujian menyeluruh termasuk kultur dan identifikasi kulat, ujian sensitiviti, diagnostik molekul dan penjujukan generasi akan datang (NGS).

 

Perkhidmatan baharu itu adalah sebahagian daripada misi Lablink untuk terus membangunkan dan memperkenalkan penyelesaian khusus kepada pakar kesihatan untuk melakukan diagnosis yang lebih tepat dan rawatan yang lebih bersasar. - DagangNews.com