Malaysia bersedia guna tenaga nuklear sebagai sumber tenaga: Rafizi Ramli | DagangNews Skip to main content

Malaysia bersedia guna tenaga nuklear sebagai sumber tenaga: Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR 5 Nov - Malaysia bersedia mengguna pakai penjanaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaganya pada tahun-tahun akan datang, menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

 

Beliau berkata keputusan berhubung potensi penggunaan tenaga nuklear negara telah dibuat dan tanggungjawab itu sedang dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

 

Menurut beliau, ini bagi memastikan rangka kerja perundangan dan kawal selia dapat diwujudkan lebih awal.

 

 

“Memandangkan keputusan itu telah dibuat oleh Majlis Tenaga Negara dan diperakui oleh Kabinet, tenaga nuklear berkemungkinan akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai satu sumber tenaga rasmi negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Forum Pelan Tindakan OGSE Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

 

Menurut Rafizi, nuklear adalah sumber tenaga yang lebih bersih berbanding yang lain, yang boleh membantu negara mencapai matlamat pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.

 

Tambahnya, kos operasi untuk jangka hayat tenaga nuklear juga lebih terjamin kerana ia tidak bergantung kepada turun naik harga bahan mentah, seperti gas dan arang batu.

 

Beliau berkata berikutan itu, memandangkan tenaga nuklear tidak bergantung kepada bahan mentah ini, jangka hayatnya lebih terjamin.

 

Rafizi juga menyatakan bahawa banyak negara lain telah kembali kepada penjanaan tenaga nuklear.

 

Selain itu ujar beliau, teknologi nuklear masa kini berbeza dengan teknologi nuklear dahulu yang memerlukan kemudahan besar.

 

“Pada masa ini, terdapat reaktor modular kecil (SMR) yang lebih kecil, selamat, dan tidak memerlukan kos yang tinggi.

 

“SMR akan memudahkan dan lebih murah untuk digunakan di kawasan yang memerlukan tenaga berbanding sumber tenaga konvensional.

 

“Atas faktor-faktor ini terutamanya teknologi SMR, kerajaan telah memutuskan untuk mengkaji kebolehlaksanaan tenaga nuklear di Malaysia,” katanya.

 

Ditanya sama ada kerajaan akan membiayai pelaksanaan tenaga nuklear, Rafizi berkata kerajaan hanya mewujudkan rangka kerja komprehensif, termasuk peraturan antarabangsa.

 

Beliau berkata berdasarkan model industri semasa untuk penjanaan kuasa, pelaksanaan projek didorong oleh sektor swasta.

 

“Pada fasa awal, kerajaan akan memberi tumpuan kepada rangka kerja dan memastikan Malaysia mematuhi peraturan antarabangsa.

 

"Saya percaya bahawa untuk sektor tenaga terlibat dalam tenaga nuklear, keputusan dan peraturan mungkin akan dibuat dan diawasi oleh Suruhanjaya Tenaga," katanya. - DagangNews.com