Malaysia pantau dasar ekonomi baharu yang bakal dikeluarkan AS - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Malaysia pantau dasar ekonomi baharu yang bakal dikeluarkan AS - Amir Hamzah

GEORGETOWN 11 Nov - Malaysia akan memantau dasar ekonomi baharu yang bakal dikeluarkan Kabinet Amerika Syarikat (AS), berikutan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Trump kini dalam proses membentuk Kabinetnya.

 

"Dalam pada itu, kami akan memerhatikan dasar baharu yang dari AS, dan kami berharap ia akan terus memacu pertumbuhan ekonomi global.

 

“Malaysia mempunyai ekonomi yang sangat pelbagai, dan kami yakin dengan keupayaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan “Propelling Malaysia Forward Conference 2024 — Siri Pulau Pinang”, anjuran Affin Bank di sini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, ekonomi Malaysia kekal di landasan yang betul, kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatat pertumbuhan purata 5.1% dalam sembilan bulan pertama tahun ini.

 

Amir Hamzah juga berkata, inflasi terkawal pada 1.8%, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.2% pada September 2024.

 

“Usaha kerajaan untuk menarik pelabur telah berjaya, memacu aktiviti ekonomi melalui penubuhan kilang pembuatan.

 

"Kami berharap usaha ini akan terus membuahkan hasil yang positif, dan kami melihat petunjuk bahawa pertumbuhan akan berterusan pada tahun akan datang,” katanya.

 

Sementara itu, ditanya mengenai peningkatan jumlah pinjaman yang dikeluarkan oleh institusi bukan perbankan, beliau berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan Akta baharu bagi mengawal selia aktiviti tersebut.

 

"Akta ini akan membantu kami mengawal selia pemberian pinjaman, termasuk skim beli sekarang bayar kemudian dan yang serupa, memudahkan kami mengesan dan menangani sebarang isu yang timbul daripada aktiviti ini,” katanya. - DagangNews.com