Jika keputusan kerajaan untuk menyewa 28 buah helikopter untuk pasukan keselamatan dilihat luar daripada kelaziman, sebenarnya pilihan ini bukan baharu.
Mungkin jumlah yang hendak disewa serta nilai sewaan RM16.5 bilion itu dilihat besar, maka banyak pihak memberikan pelbagai respons.
Berdasarkan kiraan kasar kerajaan perlu memperuntukkan RM1.1 bilion setiap tahun untuk kos sewaan tersebut.
Dengan kos sedemikian, banyak kelengkapan pertahanan lain boleh dimiliki, cuma jika mengambil kira kos pemilikan 28 buah helikopter secara pukal termasuk selenggaraan dan tenaga kerja, jumlah ini dilihat relevan.
Ini kerana sepanjang tempoh sewaan kerajaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan lain untuk kontrak senggaraan termasuk tenaga kerja.
Selepas 15 tahun kesemua pesawat menjadi milik kerajaan apabila dijual pada harga RM1.
Daripada jumlah tersebut, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerima 12 buah helikopter, Tentera Laut Diraja Malaysia (2) dan Polis Diraja Malaysia (7).
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pula menerima 4 pesawat, Jabatan Bomba dan
Bagaimana pun, penilaian sebenarnya hanya boleh diketahui setelah kontrak dimeterai dan pecahan perbelanjaan dikemukakan.
Hungary dan Britain sebagai contoh merupakan 2 negara Eropah yang memilih menyewa pesawat tentera walaupun mempunyai kemampuan untuk membeli.
Tidak seperti Malaysia yang menyewa helikopter pengangkut, Hungary sebaliknya memajak 14 pesawat tempur Saab Gripen bekas kepunyaan Sweden untuk tentera udaranya.
Perjanjian pajakan ditandatangani pada Februari 2003 menjadikan Hungary negara anggota NATO pertama mengendalikan Gripen apabila lima pesawat pertama diterima pada Mac 2006.
Tentera Udara Hungary menerima 12 Gripen C dan dua Gripen D bagi melengkapkan pertahanan udara negara.
Kontrak sewaan kemudian dilanjutkan selama 10 tahun yang akan berakhir pada 2026 dan sebaik kontrak tamat kesemua pesawat Gripen ini menjadi milik Hungary.
Dikatakan keputusan itu akan menjimatkan perbelanjaan pertahanan negara itu sebanyak AS$270 juta.
Pada Februari lalu Hungary bersetuju membeli 4 lagi pesawat Gripen baharu menjadikan keseluruhannya 18 buah pesawat yang bakal dimiliki.
Bermakna, dalam tempoh 3 tahun sahaja selepas kontrak sewaan dipersetujui, Hungary terus mempunyai 14 buah pesawat tempur tanpa menunggu lama.
Sepanjang tempoh menunggu pula, juruterbang dan kru pesawat boleh menjalani latihan penyesuaian sebagai persediaan menerima pesawat-pesawat.
Berbanding jika membeli baharu, pesawat akan diterima secara berkumpulan berperingkat-peringkat dalam tempoh 3 hingga 4 tahun.
Tempoh masa ini menjadi singkat kerana pesawat tempur yang dibekalkan telah pun beroperasi tanpa perlu melalui ujian-ujian penerbangan.
Berdasarkan tempoh penggunaan pula, Hungary dapat mengoperasikan pesawat ini sama sepertimana tentera udara lain kerana mempunyai sokongan logistik terus daripada pihak pengeluarnya, Saab.
Kerajaan Britain yang memerlukan pesawat pengangkut strategik memutuskan menyewa 4 pesawat C-17 Globemaster III dengan harga kira-kira £771 juta daripada Boeing pada tahun 2001.
Pajakan selama 7 tahun itu dengan pilihan untuk membeli atau melanjutkan sewaan apabila kontrak tamat.
Keputusan itu dibuat disebabkan negara berkenaan pada masa itu perlu menyokong operasi ketenteraan di Afghanistan dan Iraq, maka pesawat logistik bersaiz besar penting.
Tanpa pesawat gergasi seperti C-17, sukar untuk tentera udara Britain menghantar kelengkapan dan bantuan pada jarak antara benua.
Pada masa sama negara itu sedang terlibat dalam program pembangunan pesawat pengangkut Airbus A400 yang mengambil masa untuk disiapkan.
Kerajaan Britain kemudian membeli kesemua pesawat C-17 ini diikuti dengan pembelian 4 buah pesawat lagi secara berperingkat-peringkat sehingga tahun 2012.
Bermakna dalam tempoh 12 tahun Britain telah mempunyai 8 pesawat C-17 bagi keperluan strategik negaranya.
Selain C-17, Britain kini turut mengoperasikan pesawat Airbus A400 bagi pengangkutan logistik tentera jarak jauh. - DagangNews.com