Maybank IB kekal unjuran pertumbuhan pinjaman industri sebanyak 5.5% pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal unjuran pertumbuhan pinjaman industri sebanyak 5.5% pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman industri sebanyak 5.5% pada tahun ini.

 

Katanya, pertumbuhan pinjaman industri menyederhana kepada 6% pada Ogos 2024 daripada 6.4% pada akhir Julai 2024, sebahagian besarnya disebabkan oleh pengembangan pinjaman modal kerja yang lebih perlahan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pertumbuhan pinjaman isi rumah stabil pada 6.4% tetapi pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah menyederhana kepada 5.4% berbanding 6.4% pada Julai 2024.

 

"Bagi segmen pengguna, gadai janji berkembang pada kadar yang stabil sebanyak 7.5% manakala pertumbuhan pembiayaan kenderaan menyederhana kepada 9.8% berbanding 10.1% pada Julai 2024 dan pembiayaan peribadi sedikit lebih perlahan pada 4.2% berbanding 4.4% pada Julai 2024.

 

"Pinjaman kad kredit, bagaimanapun, meningkat kepada 8.3% daripada 7.8% pada Julai 2024.

 

"Bagi segmen buan isi rumah, pertumbuhan pinjaman hartanah komersial meningkat kepada 7.0% berbanding 6.8% tetapi pertumbuhan pinjaman modal kerja merosot kepada 5.4% berbanding 7.1%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, akaun simpanan akaun semasa (CASA) terus berkembang walaupun pada kadar lebih perlahan manakala kualiti aset terus bertambah baik, menunjukkan peruntukan rosot nilai yang lebih rendah, terutamanya di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang agak teguh.

 

Katanya, pertumbuhan deposit menjadi sederhada kepada 3.1% pada akhir Ogos 2024 berbanding 4.8% pada akhir Julai tahun ini.

 

"Pertumbuhan CASA adalah lebih perlahan iaitu 4.1% berbanding 6.4% pada akhir Julai 2024 tetapi kekal mencatatkan pertumbuhan positif untuk bulan ke-11," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan positif terhadap sektor perbankan. - DagangNews.com