Pendapatan MSM Malaysia diramal bertambah baik didorong purata harga jualan produk eksport lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Pendapatan MSM Malaysia diramal bertambah baik didorong purata harga jualan produk eksport lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Pendapatan MSM Malaysia Holdings Bhd diramal bertambah baik, didorong oleh purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi untuk produk eksport, kedudukan lindung nilai yang lebih baik bagi harga gula mentah dan kos input yang berpotensi lebih rendah, yang mendapat manfaat daripada pengukuhan ringgit.

 

BIMB Securities berkata, kumpulan itu mencatatkan kerugian teras pada suku kedua 2024 sebanyak RM14.1 juta walaupun mencatatkan keuntungan pada dua suku tahun berturut-berturut sebelum ini. 

 

Oleh itu, katanyam keuntungan bersih teras MSM untuk separuh pertama 2024 meleset aripada anggaran, menyumbang 4% daripada ramalan setahun penuh.

 

“Prestasi mengecewakan pada suku kedua itu didorong penurunan ketara dalam volum jualan eksport, turun sebanyak 40% suku tahun ke suku tahun kepada 37,000 tan pada suku kedua 2024 daripada 62,000 tan pada suku pertama tahun ini, disebabkan penurunan harga gula mentah dan kos input yang lebih tinggi akibat kerugian lindung nilai.

 

“Walaupun menerima subsidi kerajaan sebanyak RM24 juta sebulan untuk satu kg gula bijirin kasar/gula pasir halus, MSM tidak dapat mengimbangi kerugian lindung nilai dalam segmen eksport,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Harga gula mentah meningkat kepada 28 sen Amerika Syarikat (AS) bagi setiap paun pada November 2023, disokong fenomena cuaca El Nino, menyebabkan kekurangan pengeluaran di negara pengeluar tebu utama; India dan Thailand, pengeksport gula mentah global terbesar selepas Brazil, serta larangan eksport gula oleh India.

 

“Peningkatan prestasi gula mentah dan keuntungan lindung nilai pada suku keempat 2023 dan suku pertama 2024, MSM melaporkan jumlah jualan industri dan eksport yang lebih tinggi.


"Bagaimanapun pada suku kedua 2024, dengan purata harga gula mentah merosot kepada 19.6 sen AS setiap paun, MSM mengalami kerugian lindung nilai yang memberi kesan kepada jualan eksportnya, membawa kepada penurunan 40% dari suku tahun ke suku tahun dan 30% tahun ke tahun dalam volum eksport.

 

"Ini menyumbang kepada kerugian bersih teras sebanyak RM14.1 juta bagi suku tersebut," kata firma penyelidikan itu.

 

Melangkah ke hadapan, BIMB Securities menjangkakan pendapatan suku ketiga 2024 MSM kekal mencabar, kerana gula mentah pada suku ketiga 2024 didagangkan pada tahap yang sama dengan suku kedua (19.4 sen AS per paun berbanding 19.6 sen AS per paun).

 

Selain itu, volum eksport separuh pertama tahun ini mewakili 33% daripada sasaran jualan eksport setahun penuh pengurusan sebanyak 300,000 tan untuk tahun kewangan 2024 (FY24).

 

“Bagaimanapun, dengan gula mentah meningkat kepada 23.3 sen AS setiap paun berikutan kebakaran di Sao Paulo, Brazil, kami menjangkakan keuntungan lindung nilai pada suku keempat 2024 seharusnya diterjemahkan kepada prospek pendapatan yang lebih baik untuk MSM.

 

“Dengan musim perayaan yang akan datang pada 4Q24 dan 1Q25, kami menjangkakan jumlah jualan yang lebih tinggi, kerana peruncit dan pemborong menyimpan stok menjelang Krismas dan Tahun Baru Cina.”- DagangNews.com