KUALA LUMPUR 1 Okt - Kenanga Research menjangkakan lebih banyak kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk tenaga boleh diperbaharui (RE) akan dianugerahkan seawal bulan ini dengan tarikh akhir penyiapan menjelang akhir 2025.
Firma penyelidian itu melihat peningkatan ketara dalam buku pesanan terutamanya didorong oleh pekerjaan EPCC di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
Berdasarkan garis masa, mereka percaya pelabur harus memberi tumpuan kepada CGPP 800MW pada suku keempat 2024, bernilai RM2.4 bilion, manakala anugerah kontrak LSS5 EPCC RM5 bilion dijangka pada suku pertama 2025.
Inisiatif itu dijangka mengekalkan pertumbuhan sektor sepanjang 2028, katanya.
“Berdasarkan anggaran, kapasiti 800MWp di bawah CGPP akan diterjemahkan kepada RM2.4 bilion pekerjaan EPCC solar.
"Selepas itu, Suruhanjaya Tenaga akan memulakan 2GW LSS5, program LSS terbesar setakat ini, dalam empat pakej," katanya dalam atu nota kajian.
Kenanga Research berkata, di bawah LSS5, pemaju boleh membida sehingga 500MW (berbanding hanya 50MW sebelum ini) dengan operasi dijadualkan bermula pada 2026.
"Kami menjangkakan pembida mengemukakan kadar yang setanding dengan LSS4 (iaitu pada kadar pulangan dalaman projek (IRR) sebanyak 8%).
"Kami menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya RM5 bilion pekerjaan EPCC sistem fotovoltaik (PV) yang datang daripada LSS5," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor RE, disokong pelaksanaan inisiatif yang teguh dan peningkatan peruntukan kuota, terutamanya dalam tenaga solar.
Sementara itu, penurunan harga panel solar disebabkan lebihan bekalan akan meningkatkan margin untuk kontraktor EPCC solar dan merangsang pelaburan dalam sistem solar.
Pilihan utama firma penyelidikan terhadap sektor itu terdiri daripada Solarvest Holdings Bhd (outperform; harga sasaran: RM1.91) dan Samaiden Group Bhd (outperform; harga sasaran: RM1.51).- DagangNews.com