Maybank Singapura lancar myimpact SME, rumusan kewangan inklusif bantu pertumbuhan PKS | DagangNews Skip to main content

Maybank Singapura lancar myimpact SME, rumusan kewangan inklusif bantu pertumbuhan PKS

Oleh Shamsiah Zulkafli

SINGAPURA 28 Nov - Maybank Singapura (Maybank) melancarkan program myimpact SME, sebuah inisiatif yang merangkumi seluruh Kumpulan Maybank untuk memberdayakan pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Kemboja dengan penyelesaian berasaskan nilai bagi menyokong perniagaan berkenaan.

 

Sebagai bank utama untuk usahawan, Maybank myimpact SME menawarkan penyelesaian kewangan dan perundingan perniagaan yang disesuaikan untuk memastikan perniagaan lebih kukuh dan memberi impak ekonomi positif. 

 

Ia merupakan ekosistem kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi untuk membantu PKS mempercepatkan perjalanan kelestarian mereka, seiring Pelan Hijau Singapura 2030 untuk masa depan yang mampan dari segi alam sekitar.

 

Bagi membekalkan PKS dengan alat untuk memulakan proses pengiraan karbon dan pelaporan kelestarian, Maybank bekerjasama dengan ESGpedia, syarikat teknologi dan data ESG terkemuka di Asia, untuk membantu PKS memanfaatkan digitalisasi bagi mengira pelepasan gas rumah hijau (GHG), menetapkan metrik ESG utama dan menghasilkan laporan kelestarian pertama mereka mengikut metodologi ISO14064 dan piawaian antarabangsa. 

 

Ini membolehkan PKS mengharungi permintaan pengguna dan peraturan yang semakin meningkat, menunjukkan komitmen terhadap kelestarian, serta memberi mereka kelebihan untuk pembiayaan mampan dan peluang perniagaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, sebagai satu daripada institusi kewangan terbesar di rantau ini, Maybank memahami dengan mendalam bahawa membina perniagaan yang berjaya dan mampan memerlukan usaha yang besar. 

 

"Maybank berada di awal perjalanan usahawan dan akan terus berkembang bersama pelanggan PKS kami. Maybank myimpact SME menyokong perniagaan di setiap tahap pertumbuhan dengan rumusan kewangan dan bukan kewangan yang komprehensif. 

 

"Komitmen kami terhadap inklusiviti kewangan dan impak yang mampan membezakan kami, selaras dengan aspirasi jangka panjang kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Negara Maybank Singapura, Alvin Lee pula berkata, pihaknya komited untuk mendorong perubahan positif dan impak yang bermakna bagi menyokong pertumbuhan perniagaan pelanggan. 

 

"Kami sedar banyak PKS kekurangan sumber dan pengetahuan untuk mengamalkan kelestarian dalam operasi perniagaan mereka dan mereka perlu menangani pelbagai isu yang mendesak.

 

"Sebagai penyumbang utama ekonomi Singapura, mereka memainkan peranan penting dalam kelestarian alam sekitar. Maybank myimpact SME, sebagai ekosistem kerjasama, akan menjadi pemangkin penting untuk memacu pertumbuhan mampan dan inovasi dengan menawarkan pandangan dan panduan yang disesuaikan bagi menangani keperluan dan cabaran mereka," ujarnya.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan ESGpedia, Benjamin Soh menyifatkan, apabila syarikat korporat memberi keutamaan kepada perolehan mampan, tidak dapat dinafikan bahawa PKS perlu menyesuaikan diri dan menerima kelestarian untuk kekal kompetitif.

 

"Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan Maybank untuk membolehkan PKS mengambil langkah pertama ke arah kelestarian melalui ekosistem Maybank myimpact SME. 

 

"Dengannya, PKS dapat mengira pelepasan karbon mereka dan melaporkan metrik ESG utama, untuk menunjukkan komitmen terhadap kelestarian serta memberi mereka kelebihan untuk pembiayaan mampan dan peluang perniagaan," jelas beliau.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Maybank myimpact SME, Maybank juga akan menawarkan sokongan tambahan kepada usahawan wanita melalui program HERpower untuk membantu mereka membuka peluang perniagaan baharu, mengakses penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan dan menerima akses eksklusif kepada acara rangkaian dan bengkel.

 

Usahawan wanita juga akan menikmati pelbagai pengecualian yuran seperti pengecualian yuran pemprosesan sehingga S$2,000 untuk permohonan pinjaman, pengecualian bayaran bagi yuran pemasangan terminal untuk Terminal Pengesanan Data Elektronik (EDC) dan pengecualian caj gaji sehingga S$100 sebulan. - DagangNews.com