Ananda Krishnan meninggal dunia pada usia 86 tahun | DagangNews Skip to main content

Ananda Krishnan meninggal dunia pada usia 86 tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - T Ananda Krishnan, hartawan terkemuka dengan empayar merangkumi sektor telekomunikasi hingga ke minyak dan gas, meninggal dunia pada Khamis ketika berusia 86 tahun.

 

Usaha Tegas Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, mendiang menghembuskan nafas terakhir secara aman dan keluarganya ingin menjalani proses berkabung secara peribadi.

 

"Beliau telah membuat sumbangan besar kepada pembinaan negara dan dunia korporat, sikap dermawannya telah menyentuh banyak pihak," kata kenyataan itu.

 

Kali terakhir, menduduki tempat keenam orang terkaya Malaysia oleh Forbes dengan nilai bersih AS$5.1 bilion (RM22.66 bilion), Ananda membuat sebahagian besar kekayaannya pada 1980-an dan 1990-an yang menjadikannya rapat dengan bekas Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamed.

 

Pegangan Ananda termasuk pengendali rangkaian mudah alih Maxis Bhd, syarikat televisyen berbayar Astro Malaysia Holdings Bhd dan firma perkhidmatan medan minyak Bumi Armada Bhd.

 

Ananda sentiasa menjauhkan diri daripada tumpuan media sepanjang hayatnya, walaupun perniagaannya berkembang.

 

Mendiang berulang-alik antara Malaysia dan Perancis, di mana dia menghabiskan sebahagian besar masanya bersama isterinya. Anak lelaki tunggalnya adalah seorang sami Buddha di Thailand, manakala dua anak perempuannya tidak berminat untuk mengambil alih perniagaannya, menurut laporan media. - DagangNews.com